MALAYSIA
Khalid tarik saman terhadap bekas Ketua Pengarang FMT
Menurut Khalid (gambar), tindakan itu sebagai tanda hormat kepada Koya Kutty, bapa kepada Rahman yang juga tokoh penerbitan Islam di negara ini. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menarik balik saman terhadap bekas Ketua Pengarang portal berita Free Malaysia Today (FMT), Abdel Rahman Koya selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat di Mahkamah Tinggi pada Isnin.
Khalid berkata, beliau bersetuju menyelesaikan saman itu tanpa sebarang tuntutan termasuk kos guaman.
Menurut beliau, keputusan itu diambil selepas Rahman mengaku melakukan kesilapan dan menyatakan kekesalannya berhubung artikel bertajuk 'Khalid presses on, tells Dr M to make way for Anwar' yang disiarkan FMT pada 26 Februari 2020.
"Saya bersetuju untuk menyelesaikan saman ini di hadapan hakim Mahkamah Tinggi selepas Rahman mengaku kesilapan dan kesal beliau ketika menulis dan menyiarkan berita itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Khalid, tindakan itu sebagai tanda hormat kepada Koya Kutty, bapa kepada Rahman yang juga tokoh penerbitan Islam di negara ini.
"Haji Koya adalah pengasas The Other Press dan penerbit buku serta majalah Islam yang saya segani.
"Penerbitan beliau banyak menyumbang kepada pemahaman perjuangan serta pemikiran Islam yang saya hayati sejak muda.
“Salah satu majalah terbitan beliau yang saya gemari adalah Readings in Islam. Semoga ALLAH merahmatinya,” katanya. - Sinar Harian