Khatan perempuan: KPWKM akan bincang dengan Kementerian Kesihatan

Diyana Ibrahim
November 15, 2018 07:13 MYT
WAN AZIZAH: Kita dalam perbincangan dengan Kementerian Kesihatan kerana sebenarnya ia merupakan praktis budaya yang diamalkan sebelum ini. - Gambar fail/BERNAMA
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan berhubung isu khatan bayi perempuan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata keputusan tersebut merupakan susulan daripada kritikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terhadap Putrajaya kerana kenyataannya mengenai khatan bayi perempuan di Malaysia sebagai satu amalan budaya.
"Kita dalam perbincangan dengan Kementerian Kesihatan kerana sebenarnya ia merupakan praktis budaya yang diamalkan sebelum ini dan cara kita bersunat (berkhatan) tidak sama seperti di Afrika.
"Tetapi, kita akan buat perbincangan dan lihat jika betul (khatan) pada perempuan tidak beri kebaikan, maka kita harus buat sesuatu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Pengerusi Suhakam Razali Ismail berkata kenyataan daripada wakil kementerian itu dalam program Semakan Berkala Sejagat Pusingan Ketiga di Geneva, Switzerland pada minggu lepas tidak menyakinkan dan disalah tafsir.
Sebelum ini, wakil itu mempertahankan amalan berkhatan di kalangan perempuan dengan mendakwa ia merupakan sebahagian daripada budaya.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata amalan sunat merupakan pencabulan hak remaja dan wanita.
#Kementerian Kesihatan #kementerian wanita #khatan bayi perempuan #KKM #KPWKM #Razali Ismail #Suhakam #suruhanjaya hak asasi manusia #Timbalan Perdana Menteri #Wan Azizah Wan Ismail