SEREMBAN: Hanya pentas utama bagi Karnival Deepavali 2026 di Jalan Dato’ Lee Fong Yee, di sini perlu dibuka atau dialihkan selepas tamat operasi harian, manakala khemah peniaga dibenarkan kekal dipasang sepanjang tempoh penganjuran.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Ir Masri Baharuddin berkata penjelasan itu dibuat bagi membetulkan kenyataan terdahulu berhubung syarat pengurusan khemah selepas operasi perniagaan tamat setiap hari.
"MBS ingin memperbetul dan menjelaskan maklumat tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan peniaga, penganjur serta masyarakat.
"Untuk makluman, khemah peniaga diluluskan MBS boleh terus kekal dipasang di tapak sepanjang tempoh penganjuran karnival dan tidak perlu dibuka serta dialihkan setiap hari. Bagaimanapun, pentas utama hendaklah dibuka atau dialihkan selepas tamat operasi mengikut syarat dan ketetapan oleh MBS,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Masri berkata pihaknya berharap pembetulan ini dapat memberikan gambaran tepat tentang syarat sebenar pengurusan khemah peniaga dan pentas utama sepanjang tempoh penganjuran karnival berkenaan.
Semalam, media melaporkan MBS meminta penganjur Karnival Deepavali memastikan semua khemah dibuka dan dialihkan dari lokasi selepas operasi tamat pada tengah malam setiap hari sebelum dipasang semula pada hari berikutnya.
Dalam pada itu, Masri berkata penganjur dan semua peniaga terlibat perlu memastikan aktiviti perniagaan yang dijalankan mematuhi syarat kelulusan, arahan, panduan serta peraturan ditetapkan MBS dan agensi berkaitan.
Beliau berkata penganjur dan peniaga juga bertanggungjawab memastikan kebersihan serta kekemasan tapak karnival sentiasa terpelihara, termasuk mengurus sisa makanan, sampah dan bahan buangan dengan sempurna sepanjang tempoh operasi demi keselesaan bersama.
Masri berkata ketetapan berkenaan bertujuan memastikan penganjuran karnival berjalan lancar dan teratur tanpa menjejaskan kepentingan serta keselesaan orang awam, selain memastikan aspek keselamatan, kebersihan dan pengurusan tapak diberi keutamaan.
MBS turut menggalakkan semua pihak yang terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya dan mematuhi syarat serta panduan yang ditetapkan bagi memastikan karnival itu berlangsung dalam suasana selamat, bersih, teratur dan harmoni.
Karnival Deepavali 2026 dijadualkan berlangsung di Jalan Dato’ Lee Fong Yee, di sini dari 29 Okt hingga 7 Nov, dengan pelbagai aktiviti dan jualan disediakan bersempena dengan perayaan itu.
-- BERNAMA