Khidmat Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan dua hakim kanan lain dilanjutkan enam bulan lagi.

Arifin berkata perkhidmatan beliau dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif serta Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin disambung setelah masing-masing mencapai usia persaraan wajib 66 tahun.

Menurut beliau, dalam tempoh lanjutan itu, pelan mengenai pengganti beliau akan disusun.

"Memanglah, ia (pelan pengganti) akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC). Saya tidak boleh beritahu anda siapakah yang akan menggantikan saya," katanya sambil menjelaskan bahawa nama orang berkenaan masih dirahsiakan.

Arifin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia di sebuah hotel di sini hari.

Tempoh perkhidmatan Arifin akan disambung dari 1 Okt tahun ini hingga Mac tahun depan. Md Raus sepatutnya bersara pada 4 Feb 2017, manakala Zulkefli pada 28 Mac 2017.

Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan baginda terhadap perlanjutan khidmat mereka.

Arifin berkata dalam tempoh lanjutan perkhidmatannya, beliau akan mendengar kes, termasuk yang mempunyai kepentingan kepada orang ramai.

Mengenai pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa sebagai hakim tambahan, Arifin berkata terdapat keperluan untuk berbuat demikian berdasarkan pengalaman Tan.

"Ia hanya sebagai tambahan, kami sudah mempunyai 14 hakim Mahkamah Persekutuan.

"Lebih-lebih lagi apabila Mahkamah Persekutuan bersidang dengan lima hakim dan kadangkala dengan tujuh hakim, maka inilah sebabnya kami memerlukan hakim tambahan," katanya.

Tan bersara daripada perkhidmatan kehakiman November tahun lepas setelah perkhidmatan beliau disambung selama enam bulan.

Arifin berkata pelantikan Tan adalah sejajar dengan peruntukan di bawah Perkara 121(A) Perlembagaan Persekutuan dan tidak menafikan peluang kenaikan pangkat hakim lain yang masih berkhidmat.

Malah, kata beliau, badan kehakiman mempunyai pelan kenaikan pangkat bagi hakim Mahkamah Rayuan untuk dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Di samping itu, jelas beliau, Mahkamah Rayuan telah menyelesaikan banyak kes dan para hakim perlu menulis asas penghakiman mereka. -Bernama