Ringkasan AI
- FINAS bersama Jabatan Insolvensi Malaysia melancarkan inisiatif khidmat nasihat perundangan dan bantuan kebankrapan percuma untuk penggiat industri kreatif.
- Langkah ini bertujuan membantu penggiat seni yang menghadapi isu kewangan, insolvensi atau masalah kontrak, terutama akibat kekangan kos guaman tinggi.
- FINAS akan memanfaatkan gabungan 19 persatuan di bawah GAFEMA untuk memastikan penyaluran maklumat dan bantuan kerajaan lebih mudah serta tersusun.
KUALA LUMPUR: Inisiatif pemberian khidmat nasihat perundangan dan bantuan kebankrapan secara percuma disifatkan sebagai benteng perlindungan penting dalam membela kebajikan serta hak penggiat industri kreatif tanah air.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac berkata kerjasama strategik menerusi Dasar Peluang Kedua bersama Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) itu merupakan satu langkah penting serta amat dialu-alukan oleh warga seni.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said atas kesudian menjayakan inisiatif ini.
“Sebagai seorang individu yang pernah berada dalam industri kreatif sebagai pelakon, pengarah, penulis dan penerbit sebelum memegang jawatan Pengerusi FINAS, saya amat memahami kesukaran yang dihadapi rakan-rakan seni apabila berdepan isu kewangan, insolvensi atau masalah kontrak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Forum Seni, Populariti dan Survival Kewangan anjuran bersama MDI dan FINAS di sini pada Isnin.
Selain Azalina, turut hadir pada forum itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Timbalan Ketua Pengarah Insolvensi Abu Bakar Manat.
Hans berkata sebahagian besar penggiat seni pernah berdepan isu berkaitan kontrak, insolvensi atau masalah perundangan, namun kekangan kos guaman yang tinggi sebelum ini menjadi penghalang untuk mereka mendapatkan khidmat nasihat sewajarnya.
“Fasa pertama tindakan FINAS adalah untuk memfokuskan dan membantu individu atau penggiat seni yang memerlukan bantuan perundangan secara cepat sebelum memperluas sebaran maklumat ini kepada kira-kira 30,000 tenaga kerja industri kreatif di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata bagi memastikan maklumat bantuan berkenaan sampai secara menyeluruh, FINAS akan memanfaatkan gabungan 19 persatuan di bawah naungan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) supaya penyaluran maklumat dan bantuan kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih mudah serta tersusun.
Hans berkata semua persatuan di bawah GAFEMA dijangka ditempatkan di bawah satu bumbung di Kompleks FINAS Hulu Kelang pada suku pertama tahun depan bagi mengukuhkan pengurusan serta penyelarasan industri.
Beliau berharap penggiat seni akan memanfaatkan inisiatif berkenaan sepenuhnya untuk mendapatkan maklumat serta perlindungan hak yang sewajarnya dalam industri kreatif.
-- BERNAMA