KUALA LUMPUR: Khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) yang akan digunakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi penugasan di kawasan rusuhan bakal dilaksanakan awal tahun depan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata FRU telah diberi kelulusan untuk mendapatkan 10 ekor anjing K9 yang dikenali sebagai anjing rusuhan bagi tujuan mengawal ketenteraman sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"Insya-Allah tahun depan kita akan mulakan .... Kita tidak mahu FRU ini dipandang jaga rusuhan sahaja, kita mahu pelbagai tugas iaitu untuk risikan dan pencegahan khas dalam menjaga keamanan atau terlibat dengan majlis yang besar serta bencana.

"Kita juga dalam proses meningkatkan kemahiran dalam FRU ini supaya sekurang-kurangnya setanding dengan pasukan Smart Team," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Menunggang Kuda Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) siri dua 2023 di Markas PSP di sini hari ini.

Beliau berkata khidmat anjing dalam penugasan rusuhan dan menjaga keamanan sangat diperlukan kerana naluri manusia akan timbul perasaan takut apabila melihat anjing.

Hazani turut mencadangkan untuk menubuhkan pasukan khas anjing pengiring dalam penugasan mengiring.

"Dari segi kemahiran melatih anjing berkenaan, kita akan belajar dari negara luar kerana sebelum ini ada situasi yang berlaku di Perancis yang anjing terbabit membantu menyelamatkan tebusan," katanya.

Terdahulu, Hazani menyampaikan lencana tamat latihan kepada 30 anggota FRU yang berjaya menamatkan Kursus Asas Menunggang Kuda.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi Pilihan Raya Negeri (PRN), Hazani berkata proses berkempen dan mengundi berlangsung dengan lancar di enam negeri terlibat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

"Ini ialah PRN yang cukup aman dan tenteram kerana rakyat Malaysia cukup matang. Kita juga berterima kasih kepada petugas (pegawai dan anggota polis) dalam PRN kali ini yang mengharungi penugasan dengan baik," katanya.

-- BERNAMA