MALAYSIA

KHOM rayu sumbangan, bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza semakin kritikal

Pia Ernadya 06/08/2025 | 00:30 MYT
Misi kecemasan dinamakan Operation Heartbeat for Gaza itu dijadualkan berlepas ke Jordan pada Sabtu, ekoran situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di kawasan terbabit.
KUALA LUMPUR: Dalam tempoh lima hari sahaja, Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) Malaysia perlu mengumpul sebanyak RM243,110 bagi memastikan misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza Utara dapat diteruskan.

Menurut Pengarah Misi Bantuan Kemanusiaan KHOM Malaysia, Nik Marina Hussin, misi kecemasan dinamakan Operation Heartbeat for Gaza itu dijadualkan berlepas ke Jordan pada Sabtu, ekoran situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di kawasan terbabit.

Sehubungan itu, KHOM, jelas beliau, menyasarkan kutipan segera bagi memenuhi keperluan minimum berikut:

• 1,000 kotak makanan (baki diperlukan: 324)

• 500 pek atau tin susu bayi (baki: 300)

• 800 beg tepung (baki: 651)

“Pasukan KHOM Malaysia kini hanya mempunyai masa seminggu untuk menghantar bantuan makanan, susu bayi dan tepung ke Gaza Utara melalui sempadan Jordan.

"Selepas kejayaan penghantaran 2,400 tan bantuan pada 28 Julai lalu, stok di pangkalan Jordan kini sudah kehabisan sepenuhnya,” jelas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan, hasil pertemuan tergempar bersama pihak berkuasa tertinggi Jordan, KHOM telah diberikan akses keutamaan untuk penghantaran seterusnya.

Bagaimanapun, segala pembelian, pembungkusan dan penyelarasan logistik perlu diselesaikan dalam tempoh lima hari agar bantuan dapat dihantar tepat pada masanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun-akaun berikut atas nama Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Karisma (KHOM) - Bank Islam (03139010023524), Maybank (553010627607) atau CIMB (8603493305).





KHOM mula beroperasi di Jordan sejak 2017 dan memberi tumpuan bantuan kepada pelarian Syria di Mafraq dan Irbid.

Misi bantuan kemudiannya diperluas ke Tebing Barat dan Gaza pada 2020 semasa krisis COVID-19.
Selepas konflik tercetus pada 7 Oktober 2023, KHOM menubuhkan lima pasukan operasi khas di Gaza, meliputi pelbagai aspek termasuk penyediaan makanan, tempat perlindungan, pendidikan dan air bersih.

Misi Operation Heartbeat for Gaza kali ini merupakan kerjasama strategik bersama Jordan Hashemite Charity Organisation (JHCO), dan akan berlangsung dari 9 hingga 15 Ogos 2025, tertumpu sepenuhnya kepada penghantaran bantuan ke Gaza Utara.

Astro AWANI akan turut serta membuat liputan eksklusif bagi dokumentasi penuh penghantaran bantuan kemanusiaan ini dari sempadan Jordan ke Gaza.






#KHOM Malaysia #bantuan kemanusiaan #KHOM rayu sumbangan #Operation Heartbeat for Gaza