Khunsa cabar Sherry Alhadad keluar dari zon selesa

Astro Awani
Mac 22, 2024 11:30 MYT
Sherry memegang watak Zation dalam drama bersiri Khunsa yang kini ditayangkan di saluran Astro Ria.
DI mata penonton, Sherry Alhadad ialah seorang personaliti yang sangat lucu.
Karakter humor sudah terlalu dekat dengannya sama ada di gelanggang lakonan mahupun ketika mengendalikan program-program hiburan sebagai pengacara.
Lantaran keakraban jenama Sherry dan komedi menyebabkan dia sendiri secara peribadi ada ketika gusar dan ragu untuk keluar dari zon selesa itu.
Namun, menyedari bakat seninya harus dicabar menyebabkan Sherry tidak berfikir panjang menerima undangan daripada pengarah Shahrulezad Mohameddin untuk memegang watak Zaiton dalam drama bersiri yang sedang diperkatakan ramai, Khunsa.
Karakter ibu tiri yang garang sama sekali berbeza dengan personaliti Sherry yang dikenali ramai sebagai seorang yang mesra, mudah didekati dan sentiasa tidak lekang dengan senyuman.
Justeru, sebelum memikul tugas ini, emosi Sherry terganggu dengan pelbagai rasa termasuk ketakutan.
“Sebenarnya agak ‘stress’ walaupun saya ada impian nak berlakon luar dari kebiasaan, tidak mahu watak yang tipikal dan stereotaip.
“(Pada awalnya) saya takut untuk bawa watak lain kerana takut penerimaan penonton. Takut penonton kata “tak boleh kalau Sherry bawa watak sedih tapi tetap nak gelak”… itu cabaran utama saya.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dapat pengarah yang bagus dan selalu bagi kata-kata positif kepada saya,” kata Sherry dalam wawancara bersama media.
Dalam masa sama, Sherry atau nama sebenarnya Sharifah Mariam Syed Abdullah Al Hadad turut ‘berperang’ dengan gejolak jiwa yang besar kerana gandingan pelakon dalam Khunsa amat dihormatinya iaitu Azhan Rani yang memegang watak sebagai suaminya, Wan Jusoh.
“Saya berlakon dengan pelakon-pelakon hebat terutama Azhan Rani. Macam mana dia boleh berlakon dengan tiba-tiba. Dia boleh pada bila-bila masa ketawa, menangis, keluar air mata.
“Saya yang menjadi gandingannya mula rasa tercabar, rendah diri kerana mula terfikir apakah aku layak di samping beliau (Azhan)? Apakah aku setaraf dengan beliau? Dia terlalu hebat. Itu antara cabaran watak Zaiton dalam Khunsa,” ujar Sherry yang mengagumi bakat seni luar biasa aktor itu.
Pengalaman bersama rakan-rakan pelakon, pengarah dan krew penerbitan Khunsa, kata Sherry menawarkannya ilmu dan pengalaman yang sangat berharga.
Secara peribadi, karakter Zaiton yang dilakonkannya mendidiknya untuk sentiasa percaya pada kemampuan diri sendiri.
“Dari watak Zaiton, saya belajar kita kena percaya pada diri dan jangan fikrikan apa yang orang akan kata sebab Zaiton terlalu memikirkan apa yang orang kata pada dirinya.
“Kalau dia (Zaiton) tak peduli apa yang orang cakap, mungkin dia akan Bahagia. Namun begitu, kita juga tidak boleh marah Zaiton sebab demografik pada tahun itu memerangkapnya dalam situasi itu. Itulah yang saya belajar,” kata pelakon berusia 40 tahun itu lagi.
Selain Sherry dan Azhan Rani, Khunsa arahan Shahrulezad turut menampilkan pelakon-pelakon lain seperti Farah Ahmad, Laila Nasir, Nadia Aqila, Aedy Asyraf dan ramai lagi.
Khunsa terbitan syarikat produksi Radius One ditayangkan di Astro Ria pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 9 malam.
#Khunsa #drama Khunsa #Sherry Alhadad #pengarah Shahrulezad Mohameddin
;