Skip to main content

Malaysia

Khutbah Arafah: Zulkifli seru jemaah Malaysia hayati jiwa rabbani, masyarakat madani

SECARA LANGSUNG DARI ARAFAH: Khutbah Arafah disampaikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sempena Hari Wuquf.
Zulkifli dalam Khutbah Arafahnya menyeru jemaah haji Malaysia menghayati ibadah haji sebagai proses pembinaan jiwa rabbani dan asas kepada masyarakat madani, dengan menekankan transformasi dalaman, disiplin diri serta tanggungjawab sosial. - Facebook Tabung Haji

MEKAH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Hasan dalam khutbah Arafahnya kepada jemaah haji Malaysia di Padang Arafah pada Selasa, menekankan pembinaan jiwa rabbani serta pengukuhan nilai masyarakat madani.

Khutbah yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji itu berlangsung ketika jutaan umat Islam berhimpun untuk wukuf, kemuncak ibadah haji yang menjadi simbol kesatuan umat Islam dari seluruh dunia tanpa mengira latar belakang dan kedudukan.

Dalam khutbahnya, Zulkifli menegaskan bahawa ibadah haji bukan sekadar ritual, sebaliknya merupakan sebuah proses tarbiah yang membentuk akhlak, nilai kemanusiaan dan kekuatan rohani.

“Ibadat haji adalah madrasah yang mendidik kita tentang keadilan, kesaksamaan, empati dan kasih sayang tanpa prejudis. Ia membina jiwa rabbani yang seimbang antara hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia,” katanya.

Khutbah tersebut merupakan antara pengisian yang disediakan Tabung Haji kepada jemaah Malaysia sepanjang berada di Arafah sebagai panduan rohani dalam menghayati kemuncak ibadah haji.

Dalam pada itu, Zulkifli mengingatkan para jemaah bahawa ibadah haji adalah perjalanan kembali kepada fitrah, yang membawa manusia daripada kelalaian kepada kesedaran dan daripada dosa kepada pengampunan.

Menurutnya, jemaah yang menunaikan haji dengan penuh keikhlasan berpeluang memulakan kehidupan baharu dengan jiwa yang lebih bersih serta arah hidup yang lebih jelas.

Beliau turut menekankan bahawa setiap manasik haji mengandungi pengajaran yang perlu dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Menurut Zulkifli, larangan ketika ihram seperti tidak bertengkar dan melakukan perkara maksiat merupakan latihan disiplin dan kawalan diri, manakala ibadah melontar jamrah melambangkan usaha membuang sifat buruk dalam diri.

“Manasik haji bukan sekadar pergerakan fizikal, tetapi proses membentuk akhlak dan membersihkan jiwa,” katanya lagi.

Khutbah itu turut menyentuh aspek pembinaan masyarakat apabila beliau menegaskan kepentingan keseimbangan antara hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia dalam membentuk kehidupan yang harmoni.

Beliau merujuk kepada intipati Khutbah Wada’ Nabi Muhammad SAW yang menekankan kepentingan menjaga nyawa, harta dan maruah, menunaikan amanah serta menjauhi perpecahan dan sikap taasub.

“Islam tidak hanya menuntut ibadah individu, tetapi turut menekankan tanggungjawab sosial yang menjamin keadilan dan keharmonian,” katanya.

Zulkifli turut menegaskan bahawa kemajuan sebenar tidak boleh diukur hanya melalui pembangunan fizikal, sebaliknya perlu disokong dengan pembangunan jiwa, akhlak dan integriti.

 

Must Watch Video

Advertisement