Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kilang EV Proton dijangka mulakan proses pengeluaran September ini

Bernama 18/08/2025 | 05:40 MYT
Kilang EV canggih Proton di Tanjung Malim dijangka mula pengeluaran pada September dengan kemajuan projek kini mencecah 86.9 peratus. -Foto Proton
KUALA LUMPUR: Kilang pembuatan kenderaan elektrik (EV) canggih Proton Holdings Bhd dijangka memulakan proses pengeluaran pada September ini.


Ringkasan AI
  • Kilang EV canggih Proton di Tanjung Malim dijangka mula pengeluaran pada September dengan kemajuan projek kini mencecah 86.9 peratus.
  • Pengeluaran akan bermula dengan model Proton e.MAS 7 diikuti e.MAS 5, dengan kapasiti awal 20,000 unit setahun dan boleh ditingkatkan hingga 45,000 unit.
  • Kilang ini dijangka menjana lebih 200 peluang pekerjaan baharu dan dibangunkan dengan sokongan teknikal serta latihan daripada rakan kongsi Zhejiang Geely Holding Group.


Kilang yang terletak di kawasan teknologi tinggi di Tanjung Malim, Perak itu kini mencapai 90.4 peratus siap bagi pembinaan infrastruktur bangunan manakala pemasangan peralatan pada 83.5 peratus, menjadikan kemajuan keseluruhan projek pada 86.9 peratus,

Apabila siap sepenuhnya, kilang baharu itu akan menjadi pusat pengeluaran pelbagai model yang dibina di atas platform "Global Modular Architecture" (GMA).

"Pengeluaran akan bermula dengan Proton e.MAS 7, model EV pertama daripada jenama automotif Malaysia, disusuli dengan Proton e.MAS 5, sebuah EV peringkat permulaan yang kini giat dipamerkan dalam siri jelajah seluruh negara, sekali gus menjadikannya model yang paling dinanti-nantikan di Malaysia," menurut Proton dalam kenyataan hari ini.

Proton menjelaskan dengan kapasiti pengeluaran permulaan sebanyak 20,000 unit setahun, kemudahan itu berupaya diperluas dan menampung kapasiti sehingga 45,000 unit.

Pengembangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, sejajar dengan pertumbuhan permintaan pasaran di Malaysia dan di luar negara, tambahnya.

"Bagi menyokong peningkatan sebelum pelancaran, fokus pengambilan pekerja kini adalah untuk peranan operasi dan teknikal yang kritikal.

"Sehingga kini, sebanyak 30 pekerja bukan eksekutif telah diambil untuk dilatih sepenuhnya menjadi kakitangan utama sebelum pengeluaran berskala penuh bermula pada September," jelas Proton.

Kilang itu dijangka menjana lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tempatan, terutama dalam pengkhususan industri EV dan perkhidmatan teknikal.

Sementara itu, rakan kongsi Proton, Zhejiang Geely Holding Group (Geely) telah menyediakan panduan teknikal mengenai sistem pengeluaran, membantu dalam pemilihan peralatan, dan menempatkan pakar untuk membantu pemasangan serta pengendalian ujian.

Geely juga memudah cara latihan di luar negara untuk kakitangan Proton dan memastikan kilang itu selari dengan piawaian pembuatan EV global.

Ketua Kejuruteraan Pembuatan Proton Wan Yousry Mohamed berkata kilang pengeluaran baharu itu melambangkan transformasi Proton dan komitmen tidak berbelah bahagi pihaknya terhadap masa depan yang mampan dan berteknologi tinggi.

"Kami juga meletakkan asas bagi kepimpinan Malaysia dalam landskap EV serantau dengan meluaskan penawaran EV kami secara strategik ke pasaran luar negara yang baharu.

"Ini adalah langkah bersejarah untuk syarikat dan negara, dan kami teruja untuk melihat EV buatan Malaysia yang pertama meluncur keluar daripada barisan pengeluaran ke jalan raya kita," katanya.

-- BERNAMA




#EV #Proton #Tanjung Malim #Proton e MAS