Sebuah kilang yang menempatkan pelbagai stok kayu dan papan musnah dijilat api dalam satu kebakaran di Jalan Lintas Sibuga, dekat Taman Anggerik, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian membabitkan premis yang terletak di kawasan seluas kira-kira 2,787 meter persegi itu, empat buah lori turut musnah.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Jimmy Lagung, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 12.07 tengah malam.

Susulan itu, beliau bergegas ke lokasi kejadian bersama 13 anggota yang lain.

"Apabila kami tiba dengan dua buah jentera penyelamat, didapati api sedang marak dan pasukan kami bergegas menjalankan operasi mengawal api.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan berjaya mengawal kebakaran pada jam 1.20 pagi. Foto JBPM

"Pada jam 1.20 pagi, api berjaya dikawal dan pemeriksaan mendapati, kebakaran membabitkan sebuah kilang yang turut menyimpan stok kayu dan papan.

"Terdapat beberapa pengilang atau perniagaan dalam kilang terbabit, antaranya pengilang memproses papan, perabot dan pembuat khemah.

"Stok kayu dan papan mereka semuanya musnah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kilang kayu berukuran 300 x 100 kaki persegi yang menyimpan stok kayu itu terbakar 100 peratus. Foto JBPM

Selain empat lori yang hangus terbakar sepenuhnya, sebuah lagi lori dan sebuah kereta Perodua Viva yang turut terkena bahang api berjaya diselamatkan.

Punca kejadian dan anggaran kerugian sebenar masih dalam siasatan, kata Jimmy.

Tambahnya, pemeriksaan awal mendapati kejadian juga tidak membabitkan sebarang kecederaan.

Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kilang kayu berukuran 300 x 100 kaki persegi itu terbakar 100 peratus.