[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Kilang kitar semula di Meru musnah terbakar

Sinar Harian 25/06/2025 | 06:49 MYT
Sebuah kilang kitar semula terbakar di Jalan Haji Abdul Manan, Taman Industri Meru di sini pada Rabu. -Foto Sinar Harian
KLANG: Sebuah kilang kitar semula musnah dalam kebakaran di Jalan Haji Abdul Manan, Taman Industri Meru di sini pada Rabu.

Ringkasan AI
  • Sebuah kilang kitar semula di Taman Industri Meru, Klang terbakar pada Rabu, melibatkan struktur seluas 60x100 kaki persegi; tiada mangsa dilaporkan.
  • Operasi pemadaman melibatkan 22 anggota dari empat balai bomba dengan bantuan empat jentera FRT dan dua tangki air; punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
  • Kebakaran tular di media sosial dengan kepulan asap hitam tebal dan dakwaan beberapa kenderaan turut terbakar, namun belum disahkan pihak berkuasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.14 tengah hari.
Menurut beliau, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.
"Kebakaran melibatkan sebuah kilang berkeluasan 60x100 kaki persegi dan ketika pasukan bomba tiba, api sedang marak.
"Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini setakat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, operasi pemadaman kini sedang dijalankan dengan kekuatan seramai 22 anggota daripada empat balai iaitu BBP Kapar, Klang Utara, Klang Selatan dan Bukit Jelutong.
"Empat jentera bomba jenis FRT dan dua tangki air digunakan dalam operasi tersebut.
"Setakat ini, operasi masih dijalankan dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," tambah beliau.
Terdahulu, kejadian kebakaran kilang kitar semula itu tular di media sosial dengan beberapa video memaparkan kepulan asap tebal berwarna hitam menjulang tinggi ke udara dari kawasan kejadian.
Beberapa pengguna turut mendakwa kebakaran itu menyebabkan beberapa kenderaan termasuk kereta dan lori yang berada berhampiran turut terbakar, namun perkara itu belum disahkan pihak berkuasa. -Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #kilang kitar semula #Taman Industri Meru Klang #kilang terbakar