KAMPAR: Sebuah kilang memproses kayu di Jalan Kelar, Mambang Diawan di sini musnah sebanyak 50 peratus dalam satu kebakaran pada Sabtu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.39 tengah malam.

"Kebakaran melibat sebuah kilang papan yang turut memusnahkan lima forklift dan lima mesin pengisar kayu.

"Hasil pemeriksaan tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, seramai 45 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu.

"Bantuan diterima dari BBP Tapah dan Gopeng, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, Menglembu dan Kampung Batu 12.

"Dua jentera tangki didatangkan dari BBP Ipoh dan Simpang Pulai bagi membantu operasi tersebut sehingga padam sepenuhnya," katanya.

Jelasnya, operasi tamat pada jam 4.40 pagi dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian dialami.


*Berita asal di Sinar Harian