Kilang pembuatan ais dikesan abai kemudahan penginapan pekerja

Bernama
Januari 13, 2021 08:27 MYT
Ruang bawah tangki air dijadikan bilik penginapan para pekerja asing pada operasi di sebuah kilang pembuatan ais di Bukit Gedong hari ini. - Bernama
MELAKA: Sebuah kilang pembuatan ais di Bukit Gedong di sini, dikesan melakukan empat kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, Rosli Jantan berkata ia termasuk mengabaikan aspek keselamatan penginapan pekerja warga asing termasuk menjadikan ruang bawah tangki air sebagai tempat penginapan pekerja mereka.
Beliau berkata kesemua 14 pekerja warga Nepal di kawasan kilang juga ada sebahagiannya turut ditempatkan di kontena yang diubah suai sebagai kabin selain satu bilik turut menempatkan pekerja melebihi kapasiti dibenarkan.
"Kami dapati majikan juga tidak mempunyai pengakuan penginapan selain tidak mempunyai permit penginapan sementara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Majikan juga tidak menyediakan kemudahan asas seperti almari, tilam, peti kecemasan dan sebagainya selain tahap kebersihan di sini adalah tidak memuaskan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pada operasi bersepadu JTK Melaka selama satu jam itu, ia turut melibatkan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Rosli berkata berdasarkan semua kesalahan yang dikenal pasti itu, majikan berkenaan boleh dikenakan kompaun sehingga RM100,000 selain mendapati pekerja di situ juga didapati tidak menjalani ujian saringan COVID-19.
Dalam pada itu, beliau berkata kira-kira 95 peratus majikan di negeri ini masih belum memohon perakuan penginapan daripada JTK bagi menyediakan penempatan pekerja asing.
"Setakat ini sebanyak 82 majikan telah memohon pengakuan penginapan namun hanya 17 permohonan lengkap diterima manakala 48 permohonan tidak lengkap, satu permohonan ditolak, sebelas diluluskan dan tujuh dalam proses," katanya.
-- BERNAMA
#kilang buat ais #kilang ais #asrama pekerja #penginapan pekerja #SOP #pandemik #COVID-19 #kebajikan pekerja #pekerja asing