SHAH ALAM: Sebuah premis pemprosesan makanan disyaki melepaskan efluen berbuih sehingga menyebabkan air berwarna putih berbuih dan berbau di sekitar Sungai Kecil, Kampung Rinching Semenyih pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, perkara itu dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selepas menerima maklumat mengenai pencemaran di Jambatan Rinching Tengah tersebut, kira-kira jam 11 pagi.

Menurut beliau, semakan lanjut mendapati pembentukan buih di sungai itu hasil daripada 'water turbulence' (gelora air) di kawasan parit berhampiran.

"Hasil pensampelan menunjukkan bacaan bagi Chemical Oxygen Demand (COD) dan Biochemical Oxygen Demand (BOD) adalah tinggi manakala Surfactant (Sur) dan Nitrate Oxide (No3) pula rendah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, katanya, LUAS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) kemudian menuju ke kawasan perindustrian di Bandar Tasik Kesuma.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit melepaskan efluen ke longkang berdasarkan kesan buih putih dan berbau seperti rebusan cendawan," jelasnya.

Menurut Jamaliah, anggaran jarak lokasi punca pencemaran itu ke Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih adalah 15 kilometer.

Ujarnya, tindakan pantas dan bersepadu agensi penguatkuasaan negeri berjaya memastikan tiada risiko terhadap operasi mana-mana LRA setakat ini.

Beliau menegaskan, LUAS segera mengarahkan premis itu menghentikan sebarang aktiviti yang menggunakan air dan pelepasan efluen.

Kata beliau, keadaan air sungai itu kemudian kembali normal dan tiada lagi kesan berwarna putih serta berbuih.

"Kesemua pensampelan di titik air pelepasan dalam dan luar premis itu dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisa lanjut.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan maksimum RM1 juta dan mandatori penjara tidak kurang tiga tahun jika sabit kesalahan," tambah Jamaliah. - Sinar Harian