NATIONAL
Kiraan tarif AS ke atas Malaysia tak berdasarkan keadaan sebenar - PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga menolak dakwaan AS bahawa Malaysia telah mengenakan tarif 47 peratus ke atas import negara 'Uncle Sam' itu ke Malaysia.
KUALA LUMPUR: Kerajaan menganggap pengiraan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia tidak mencerminkan keadaan sebenar dan tidak berlandaskan teori ekonomi yang kukuh.
Ringkasan AI
- Kerajaan menganggap pengiraan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas Malaysia tidak mencerminkan keadaan sebenar dan tidak berlandaskan teori ekonomi yang kukuh.
- Kerajaan menolak dakwaan AS bahawa Malaysia telah mengenakan tarif 47 peratus ke atas import AS ke Malaysia, dan menyatakan bahawa secara purata tarif yang dikenakan ke atas import barangan AS hanyalah pada kadar 5.6 peratus.
- Isu tarif timbal balik akan menjadi agenda utama pada Sidang Kemuncak ASEAN, dengan ASEAN memilih untuk berbincang di meja rundingan dan menyokong sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang digariskan oleh WTO.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga menolak dakwaan AS bahawa Malaysia telah mengenakan tarif 47 peratus ke atas import negara 'Uncle Sam' itu ke Malaysia.
Beliau menambah, kerajaan memandang serius tarif timbal balik tersebut dan mengambil kira kepentingan AS sebagai destinasi eksport dan pelaburan terbesar.
"Kerajaan menolak dakwaan AS bahawa Malaysia telah mengenakan tarif 47 peratus ke atas import AS ke Malaysia. Ini tidak benar dan disanggah oleh kebanyakan negara kerana jumlah import AS dari Malaysia pada 2024 itu mesti diukur secara menyeluruh dan tidak digunakan sebagai asas untuk mengenakan tarif timbal balas sebanyak 24 peratus.
"Jadi, kita menganggap pengiraan ini tidak mencerminkan tahap tarif sebenar dan tidak berlandaskan teori ekonomi yang kukuh.
"Wakil kita Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah mengemukakan secara langsung kepada kepimpinan AS dalam isu tersebut. Secara purata tarif yang dikenakan ke atas import barangan AS hanyalah pada kadar 5.6 peratus," kata Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata demikian pada sesi penerangan mengenai tindakan AS mengenakan tarif timbal balas ke atas semua import ke negara dan kesannya ke atas ekonomi Malaysia dalam Sidang Khas Parlimen di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bersama delegasi berangkat ke AS selama dua hari bermula 24 April lalu untuk bertemu Wakil Perdagangan AS (USTR) Jamieson Greer dan pegawai lain bagi membincangkan tarif balas yang dikenakan ke atas Malaysia sebanyak 24 peratus.
Tarif balas itu kini dalam tempoh penangguhan selama 90 hari, kecuali bagi China.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri dalam sesi penerangan sama menyifatkan penerapan tarif tersebut jelas satu penolakan kepada prinsip perdagangan bebas tanpa diskriminasi di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang diasaskan kebanyakan negara termasuk AS sendiri.
Anwar menambah isu tarif timbal balik juga akan menjadi agenda utama pada Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual pada hujung bulan ini bersama negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini, beliau berkata ASEAN juga menjangkakan rundingan penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
"ASEAN senada dan bersetuju untuk tidak mengambil tindakan balas kepada AS tetapi memilih untuk berbincang di meja rundingan.
"ASEAN juga terus menyokong sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan digariskan WTO dan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN turut diwujudkan bagi mengukuhkan pemantauan dan penyelarasan dasar di peringkat ASEAN," ujar Anwar.