Kira-kira 580,000 isi rumah M40 turun kepada B40 - PM

Hasimi Muhamad
September 21, 2021 11:11 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata statistik tersebut berdasarkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 kini beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata statistik tersebut berdasarkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
"Sebanyak 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40," katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Natrah Ismail (PH-Sekijang) yang menyatakan sama ada kerajaan berhasrat untuk menilai semula had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) pada 2020 kerana ketetapan ini tidak selari dengan kadar pengangguran negara dan golongan B40 yang semakin meningkat.
Menjawab pertanyaan tersebut, Ismail Sabri berkata buat masa ini PGK terkini yang digunakan pakai adalah pada tahun 2019 dengan purata nasionalnya ialah sebanyak RM2,208 sebulan.
Katanya, kerajaan akan mengemaskini PGK pada tahun depan serentak dengan Kajian Pendapatan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2022.
"PGK adalah berdasarkan jumlah pendapatan yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan minimum makanan dan bukan makanan untuk hidup sihat dan aktif dalam masyarakat.
"Berdasarkan metodologi PGK 2019, PGK nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan, berbanding dengan PGK 2016 yang mengguna pakai metodologi 2005 iaitu RM980 sebulan.
"Dengan menggunakan metodologi PGK 2019, kadar kemiskinan mutlak adalah 5.6 peratus terdiri dari 405,441 isi rumah pada tahun 2019 berbanding 7.6 peratus meliputi 525,743 isi rumah pada tahun 2016.
"Kadar kemiskinan bandar adalah 3.8 peratus dan kadar kemiskinan luar bandar sebanyak 12.4 peratus bagi tahun 2019," katanya lagi.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, insiden kemiskinan mutlak meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun lalu ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding 5.6 peratus pada 2019.
Katanya, dapatan itu merangkumi simulasi kepada data daripada HIES & BA 2019 dan profil isi rumah 2019 yang kemudian disesuaikan dengan corak taburan isi rumah 2020.
Tambah Perdana Menteri, konsep PGK makanan berubah daripada keperluan minimum kalori kepada keperluan optimum minimum yang menunjukkan peningkatan kualiti barangan (item) bakul makanan.
"Bagi PGK bukan makanan pula, keperluan kumpulan B20 bertambah dari 106 kepada 146 barangan dan mengambil kira perubahan pola perbelanjaan isi rumah, harga barangan dan perkhidmatan semasa.
"Oleh yang demikian, penetapan PGK, kadar pengangguran dan jumlah bilangan B40 adalah menggunakan metodologi yang berbeza tetapi berkaitan," katanya.
Beliau berkata, peningkatan kadar pengangguran akan menyebabkan pendapatan isi rumah miskin dan pendapatan B40 berkurangan seterusnya meningkatkan bilangan isi rumah yang berada di bawah PGK.
#Perdana Menteri #Ismail Sabri #Kadar kemiskinan #M40 jatuh ke B40 #Dewan Rakyat