MALAYSIA
KIS 2025 fokus tanggani ancaman seksual digital terhadap kanak-kanak
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut turun padang bagi menjayakan Kempen Internet Selamat 2025 (KIS) di sekolah yang terlibat. - Gambar MCMC
KUALA LUMPUR: Dalam era digital tanpa sempadan, kanak-kanak semakin terdedah kepada ancaman dalam talian yang kian membimbangkan, termasuk penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak atau Child Sexual Abuse Material (CSAM).
Menyedari hakikat itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi melaksanakan Kempen Internet Selamat 2025 (KIS) yang merangkumi empat teras utama iaitu buli siber, penipuan dalam talian, perjudian siber dan CSAM.
Sepanjang bulan Jun ini, tumpuan khusus diberikan kepada isu CSAM, satu bentuk jenayah rentas sempadan yang semakin serius dan menuntut perhatian serta tindakan bersepadu semua pihak.
Menurut MCMC, KIS 2025 bukan sekadar kempen kesedaran, tetapi sebahagian gerakan nasional untuk membentuk persekitaran digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan beretika.
Fasa pertama kempen yang dilancarkan Januari lalu menyasarkan lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara, termasuk institusi pengajian tinggi, institut latihan serta komuniti MADANI di kawasan bandar dan luar bandar.
Antara inisiatif utama termasuklah pembangunan modul literasi digital, pendidikan mengenai risiko media sosial, panduan perlindungan siber untuk pendidik dan ibu bapa, serta pertandingan kreatif yang mengetengahkan mesej keselamatan dalam talian secara inklusif dan menyeronokkan.

Dalam memperluaskan impak kempen, program Training of Trainers (ToT) turut diperkenalkan bagi memperkasa peranan guru, mahasiswa dan sukarelawan komuniti sebagai pemangkin kesedaran siber di peringkat akar umbi.
Kempen ini juga menekankan tanggungjawab kolektif ibu bapa untuk sentiasa peka terhadap aktiviti digital anak-anak, termasuk mengesan serta melaporkan sebarang kandungan berunsur CSAM menerusi saluran rasmi MCMC seperti portal aduan dan aplikasi Sebenarnya.my.
