Kisah Johari Abdul sumber inspirasi pelajar UNITAR Sabah

Johari menekankan tiga kata kunci yang menjadi teras kejayaannya iaitu impian, keberanian dan ilmu pengetahuan, yang menurutnya, wajib menjadi pegangan anak muda. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Perjalanan hidup Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebagai anak penoreh getah yang meniti kejayaan hingga ke kepimpinan tertinggi Parlimen negara, menjadi sumber inspirasi pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR) di sini.
Ringkasan AI
- Kisah perjalanan hidup Tan Sri Dr Johari Abdul dari anak penoreh getah ke kepimpinan Parlimen menjadi sumber inspirasi pelajar UNITAR, terutama mengenai kemiskinan, ketabahan, dan usaha tanpa henti beliau.
- Pelajar UNITAR, Fakhrusy Syakirin Haron, menyatakan terkesan dengan kisah hidup Johari yang menunjukkan perjalanan dari kekurangan kepada kejayaan, memberi inspirasi kepada belia.
- Tan Sri Johari menekankan impian, keberanian, dan ilmu pengetahuan sebagai kunci kejayaan, serta menegaskan bahawa latar belakang keluarga bukan penghalang untuk mencapai kejayaan kepada pelajar yang hadir.
"Sebagai seorang belia... semasa Tan Sri memberikan penerangan bagaimana cerita perjalanan hidup dia tu, saya rasa dalam hati, terasa sedihlah dengan cerita yang disampaikan oleh Tan Sri.
"Bagaimana beliau dari seorang yang hanya bekerja biasa-biasa hingga mendapat jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat itu sangat memberi inspirasi kepada kita anak muda," katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menghimpunkan 40 pelajar UNITAR dan turut dihadiri Ketua Pejabat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Dr Mohd Arif Adenan.
Fakhrusy yang mengakui bahawa dia juga datang daripada keluarga susah berkata, latar belakang Johari menjadikan kisah pemimpin itu lebih dekat di hatinya.
"Tan Sri sendiri... tidak berasal daripada golongan yang orang bilang (kata) orang yang berada...dari sana saya nampak bahawa Tan Sri mempunyai cita-cita yang sangat tinggi, beliau sentiasa berusaha untuk mendapatkan apa yang dia inginkan sehingga berjaya pada saat ini," katanya.
Johari yang turut disertai isterinya Puan Sri Noraini Mohd meluangkan masa hampir dua jam bersama mahasiswa, berkongsi kisah kehidupan sejak kecil di Kedah membantu ibunya menjual kuih sebelum ke sekolah manakala ayahnya pula cuma seorang penoreh getah.
Yang Dipertua Dewan Rakyat pada program berkenaan mengimbas kembali kisah kehidupan serba kekurangan yang pernah dilaluinya, termasuk momen yang menjadi titik perubahan dan mendorongnya mengejar pendidikan serta kecemerlangan.
Dalam ucapannya, Johari menekankan tiga kata kunci yang menjadi teras kejayaannya iaitu impian, keberanian dan ilmu pengetahuan, yang menurutnya wajib menjadi pegangan anak muda.
Sementara itu, pelajar Seni Asasi yang hanya ingin dikenali sebagai Sandra, 18, berkata, kejayaan Johari membuktikan bahawa latar belakang keluarga bukan halangan untuk seseorang mencapai masa depan cemerlang.
"Sebab dia boleh berjaya dari kosong (tiada ada-apa) hingga ke 100 (puncak kejayaan). Jadi, tiada benda yang mustahil kalau kita betul-betul berusaha...dia sangat sesuai jadi 'role model' yang baik untuk kami sebagai belia.
"Kita mesti berusaha keras untuk apa yang kita inginkan...sebab kalau tiada usaha, kita tidak boleh capai apa yang kita mahu," katanya yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang kaunseling.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


