MALAYSIA

Kisah sebenar perjuangan P. Ramlee dirungkai dalam buku baharu

Astro Awani 10/11/2025 | 05:30 MYT
Akmal (dua, kiri) bersama tokoh seni pada pelancaran buku yang disempurnakan oleh bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (tengah). -Foto Akmal Abdullah
KUALA LUMPUR: Kisah perjuangan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang selama ini disalah tafsir dan diputar belit dalam media sosial, dirungkai semula secara teliti dalam sebuah buku baharu yang dilancarkan pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Buku "P. Ramlee Kisah Tanpa Noktah" mengungkap perjuangan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang sering disalah tafsir dalam media sosial.
  • Penulis, Akmal Abdullah, melakukan kajian selama lapan bulan untuk membetulkan fakta yang terpesong dalam buku itu.
  • Pelancaran buku tersebut dihadiri oleh tokoh seni tanah air termasuk Datuk Yusof Haslam, Datuk Rosyam Nor, dan A Galak.


Naskhah berjudul "P. Ramlee Kisah Tanpa Noktah" hasil karya penulis Akmal Abdullah mengangkat perjuangan P. Ramlee dalam usaha membetulkan pelbagai fakta yang selama ini disalah tafsir dalam media sosial dan sumber tidak sahih.

Buku kelima bekas pengarang hiburan Berita Harian (Edisi Mingguan) ini merupakan hasil kajian agresif selama lapan bulan bermula Ogos tahun lalu hingga Mac tahun ini, dengan proses penulisan dimulakan pada 19 Januari lalu.

Menurut Akmal, pemilihan P. Ramlee sebagai subjek buku kali ini didorong oleh rasa tanggungjawab untuk memperbetulkan fakta yang terpesong dan mengelirukan, termasuk yang berunsur pembohongan.



Akmal berkata, beliau merujuk kepada pelbagai akhbar lama dan pengalaman berbual dengan bintang filem veteran sejak bergiat sebagai wartawan hiburan pada 1997.

“Saya bukan hasilkan buku ini suka-suka. Ramai pelakon veteran yang saya kenal sudah tiada, tetapi kisah mereka bersama P. Ramlee masih segar dalam ingatan saya.

"Buku ini adalah wadah untuk saya bongkarkan kisah-kisah yang belum diketahui umum,” katanya pada majlis pelancaran di Saloma Bistro, di sini, pada Ahad.

Majlis pelancaran disempurnakan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, dan turut dihadiri tokoh seni tanah air seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Rosyam Nor, Datuk Rosnani Jamil, A Galak, dan Rozita Rohaizad.



Yusof Haslam menyifatkan buku "P. Ramlee Kisah Tanpa Noktah" sebagai perkongsian semangat juang P. Ramlee yang tidak pernah patah walaupun berdepan pelbagai cabaran dan kritikan.

“Buku ini memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali P. Ramlee secara lebih mendalam,” katanya.

Sementara itu, Rosyam Nor yang mewakili penaja utama ST Rosyam Mart berkata, pihaknya berbesar hati menaja penuh projek tersebut kerana menghargai perjuangan Akmal dalam memartabatkan warisan seni tanah air.


Mengimbau perjalanan menghasilkan karya tersebut, Akmal berkata beliau berdepan cabaran besar apabila hanya dapat menulis pada hari tidak menjalani rawatan dialisis.

Kesihatan beliau yang kerap terganggu akibat tekanan darah rendah turut menjadi cabaran besar sepanjang proses penulisan, sekali gus perlu mengatur keseimbangan di antara komitmen kesihatan dan proses kreatif penulisan.

“Saya hanya menulis pada hari yang tidak menjalani dialisis, iaitu sekitar tiga atau empat hari seminggu.

"Cabaran utama bukan pada proses mengarang, tetapi untuk mendapatkan fakta yang tepat kerana banyak sumber rujukan mempunyai maklumat bercanggah,” katanya.

Akmal turut berkongsi bahawa beliau terpaksa menghentikan penulisan selama beberapa hari untuk menyambung kajian, termasuk ke Arkib Perpustakaan Negara Singapura, demi memastikan ketepatan fakta.

Buku "P. Ramlee Kisah Tanpa Noktah" ini merupakan kesinambungan kepada usaha dokumentasi sejarah perfileman negara oleh Akmal, yang sebelum ini telah menghasilkan empat karya terdahulu iaitu biografi Datuk Yusof Haslam, Datuk Mustapha Ma’arof, "Di Sebalik Tabir Filem Hikayat Merong Mahawangsa", serta buku mengenai Majlis Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG).

Akmal turut memaklumkan bahawa selepas penerbitan P. Ramlee Kisah Tanpa Noktah, beliau merancang untuk menerbitkan buku seterusnya bertajuk "Epilog 90 Tahun Filem Melayu (1934–2024)" sebagai kesinambungan kepada usaha memperkukuh naratif sejarah filem Melayu.











Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tujuan utama penulisan buku "P. Ramlee Kisah Tanpa Noktah" oleh Akmal Abdullah?
    A: Tujuan penulisan buku tersebut adalah untuk membetulkan fakta yang sering disalah tafsir dalam media sosial mengenai perjuangan P. Ramlee.
  • Q: Siapakah yang hadir dalam majlis pelancaran buku "P. Ramlee Kisah Tanpa Noktah"?
    A: Majlis pelancaran tersebut dihadiri oleh tokoh seni tanah air termasuk Datuk Yusof Haslam, Datuk Rosyam Nor, dan A Galak.
  • Q: Apa cabaran utama yang dihadapi oleh Akmal Abdullah semasa menulis buku tersebut?
    A: Cabaran utama yang dihadapi ialah mendapatkan fakta yang tepat kerana banyak sumber rujukan mempunyai maklumat yang bercanggah, dan beliau terpaksa menghentikan penulisan untuk menyambung kajian demi memastikan ketepatan fakta.



#P Ramlee Kisah Tanpa Noktah #Akmal Abdullah #perjuangan seniman agung #membetulkan fakta yang terpesong