rffewfw.jpg
Oleh : Huda Hussien
Berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur, Amiza dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Ibu dan bapanya adalah pegawai polis, malah semenjak kecil kedua-duanya banyak menitik beratkan kepentingan berjimat-cermat selain menerapkan aspek disiplin dan tanggungjawab. Katanya lagi,

“Ayah dan ibu bekerja dengan kerajaan. Sememangnya saya tidak didedahkan dengan selok-belok berniaga sejak kecil. Cuma dari kecil saya sering impikan hidup yang lebih selesa. Di universiti, saya mula berniaga kecil-kecilan dengan menjual seluar jeans borong untuk tampung belanja semasa belajar. Apabila tamat pengajian, saya sempat bekerja dengan orang selama dua tahun. Kemudian, saya bekerja dalam bidang penjualan unit amanah yang mana tiada pendapatan tetap tetapi berdasarkan komisen bulanan,” jelasnya lanjut.

Sedikit demi sedikit, Amiza berusaha dari bawah hingga sampai ke satu tahap yang lebih selesa membolehkan dia mengumpulkan wang simpanan dengan impian untuk memulakan perniagaan sendiri pada satu hari nanti. Tambahnya lagi, walaupun pendapatan dan kehidupan agak selesa, namun pendapatannya masih dikategorikan tidak tetap kerana masih bergantung pada komisen. Ujarnya lagi,

“Kalau ada pelanggan yang nak melabur, adalah komisen. Kalau tiada, tiadalah income bulan itu. Hinggalah pada 2009, takdir Allah telah menjadikan saya balu pada usia 30. Arwah suami, Harris Izham meninggal dunia akibat sakit jantung pada usia 36. Ketika itu anak tunggal kami, Nur Sarra Fatiha baru mencecah dua tahun,” ceritanya sebak.

Menyifatkan kehilangan suaminya kala itu membuatkan dirinya hilang tempat berpaut, lumpuh semangat, hilang arah dan tujuan malah bagi Amiza, bagaikan hilang segala impian yang direncana selama ini. Sambungnya lagi,

“Dua tahun saya ambil masa untuk kumpul semula semangat dan kekuatan diri. Syukur kepada Allah kerana adanya keluarga di sisi membuatkan saya sentiasa beringat pada ketentuan-Nya. Dan yang paling penting, adalah amanah Allah – anak tunggal kami, Nur Sarra Fatiha menjadipendorong utama untuk saya bangkit semula,” tuturnya membulat tekad.
Tiada pengalaman berniaga secara besar-besaran tetapi berbekalkan sedikit modal yang dikumpul selama beberapa tahun, Amiza memberanikan diri mengorak langkah lebih jauh dengan memulakan perniagaan.

Tambahnya lagi, “Saya cabar kemampuan diri. Saya sandarkan segala harapan kepada-Nya kerana hidup saya kini, adalah untuk Allah, dengan impianmemberikan kehidupan yang selesa buat anak tunggal saya dan keluarga,” jawabnya sambil menyerahkan semuanya kepada Yang Esa.
new-website-feb-2014_20140402023332.png
Dapatkan Majalah InTrend untuk cerita lebih lanjut mengenai ephyra