Kisah Sharvin cetus inspirasi Deepavali

Pesanan ringkas daripada seorang ibu, “Miskin harta tak mengapa, asalkan jangan miskin ilmu”, menjadi pegangan hidup seorang anak muda sehingga berjaya menggenggam biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
SHAH ALAM: Pesanan ringkas daripada seorang ibu, “Miskin harta tak mengapa, asalkan jangan miskin ilmu”, menjadi pegangan hidup seorang anak muda sehingga berjaya menggenggam biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Kisah inspirasi pemuda bernama Sharvin itu dikongsi oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau pada Ahad.
Menurut Nurul Izzah, Sharvin dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang tabah tanpa kehadiran seorang bapa, namun kasih sayang dan pengorbanan ibunya menjadi sumber kekuatan dalam hidupnya.
“Ibunya merupakan segala-galanya buat Sharvin. Mereka hanya berdua menempuh kehidupan yang serba kekurangan, namun semangat tidak pernah padam,” katanya.Beliau menceritakan bagaimana si ibu sanggup menunggang motosikal dari Dengkil ke Shah Alam setiap hari untuk bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang demi mencari rezeki buat anak tersayang.
“Malah, ada ketika wang tidak mencukupi. Ibunya sanggup ambil kerja kedua sebagai penyambut tetamu di hotel dari pukul 6 petang hingga 1 pagi. Bayangkan betapa letihnya,” ujar Nurul Izzah.
Walaupun sering jatuh sakit akibat kepenatan bekerja dua syif, ibu Sharvin tidak pernah mengeluh, jauh sekali membazirkan wang untuk rawatan sendiri – semata-mata ingin menyimpan untuk masa depan anaknya.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sharvin pula mengambil tanggungjawab membantu keluarga dengan bekerja sambilan di pasar raya, dengan kadar upah hanya RM7 sejam.
“Setiap sen hasil titik peluhnya disimpan. Bukan untuk keseronokan, tapi untuk beli barangan dapur dan bantu tampung keperluan asas rumah mereka,” kata Nurul Izzah.
Namun, walaupun dihimpit kekangan kewangan, Sharvin terus belajar dengan tekun. Semangat ibunya yang sentiasa menekankan pentingnya ilmu menjadi motivasi utama dalam dirinya.
“Berpegang kepada pesanan ibunya, Sharvin tidak pernah berhenti berusaha hingga akhirnya layak menerima biasiswa JPA. Tetapi dia tahu, itu baru permulaan,” jelas Nurul Izzah lagi.
Minat terhadap bidang semikonduktor mendorong Sharvin menyertai program pemerkasaan kemahiran anjuran Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) di bawah program Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM).
“Program ini memperkenalkan graduan kepada kemahiran praktikal dan kepimpinan yang amat diperlukan dalam industri. Sharvin ambil peluang ini dengan sepenuh hati,” katanya yang juga bertindak sebagai penasihat Sidec dan mentor graduan program tersebut.
Sempena Deepavali, Sharvin akhirnya dapat menzahirkan penghargaan buat ibunya dalam satu mesej menyentuh hati: “Amma, I made it. Sekarang giliran saya jaga Amma. Maaf sebab banyak menyusahkan Amma dulu. Thank you and I love you.”
Bagi si ibu, kejayaan dan kebahagiaan anaknya sudah cukup menjadi hadiah terindah Deepavali tahun ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami