MALAYSIA

Kisah Zizi Kirana di penjara Israel: Hijab dirampas, t-shirt jadi tudung

Azyyati Ahmad 06/10/2025 | 02:30 MYT
Zizi turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan kerajaan Malaysia dan Turkiye yang memainkan peranan besar dalam proses pembebasan kesemua 23 aktivis Malaysia yang ditahan. - Gambar Instagram Zizi Kirana
ISTANBUL: Di sebalik penderaan fizikal dan mental ketika ditahan tentera Israel, aktivis kemanusiaan dan penyanyi Zizi Kirana berkongsi bagaimana dia dan rakan-rakan wanita lain menggunakan t-shirt putih sebagai tudung bagi menunaikan solat di penjara rejim Zionis.

Dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI di sini, Zizi menceritakan keadaan mereka yang terpaksa berimprovisasi selepas semua tudung dirampas oleh pihak penjara Israel.

“Saya nak cerita juga di penjara. Sebab masa itu orang dah tak ada tudung, semua dah diambil. Jadi, kami ramai-ramai pakai t-shirt putih yang mereka bagi, kami sarung, ikat, dan jadikan tudung selama tiga hari.

"Saya dan Ardell (Aryana) orang yang pertama sampai di penjara. Tiga hari dua malam kami solat dengan t-shirt putih itu sebagai tudung,” katanya.

Menurutnya, ketika itu mereka juga tidak dibenarkan memakai stokin dan hanya menggunakan selimut sebagai penutup kaki setiap kali menunaikan solat.

“Kami solat begitu... dengan niat semoga Allah terima. Itu saja yang kami mampu,” katanya dalam nada sebak.

Kisah aktivis wanita Global Sumud Flotilla yang dibuli rejim Zionis

Zizi turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan kerajaan Malaysia dan Turkiye yang memainkan peranan besar dalam proses pembebasan kesemua 23 aktivis Malaysia yang ditahan.

“Saya dan Ardell selalu berbual dalam sel, kami yakin kerajaan sedang usahakan sesuatu. Bila kami dengar akan dibawa ke Istanbul, kami terus menangis sebab itu tandanya usaha kerajaan berhasil,” jelasnya.

Dalam masa sama, Zizi merakamkan penghargaan kepada Konsulat Malaysia di Istanbul dan kerajaan Turkiye atas bantuan segera yang diberikan sebaik mereka dibebaskan.

“Saya keluar penjara hanya dengan pasport. Semua barang hilang, backpack, beg silang, semuanya tak ada. Tapi kerajaan Malaysia dan Turkiye bantu kami dengan penuh kasih. Jazakumullahu khairan khasiran,” katanya penuh terharu.

Kesemua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) kini selamat tiba di Istanbul selepas ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa minggu lalu.

Misi flotilla yang disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara itu membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai simbol solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi.








#Zizi Kirana #Zizi Kirana ditahan Israel #penjara Israel #kebiadapan Israel