#KisahIpeng: Guru kongsi kisah sayu anak murid

Madiha Abdullah
Januari 6, 2016 07:53 MYT
Ipeng dijaga oleh neneknya yang tidak bekerja selepas kematian ibunya, manakala bapanya pula menghilangkan diri. - Facebook/Abdul Hafiz
Baru tiga hari sekolah memulakan sesi bagi tahun 2016, ia sudah diwarnai dengan pelbagai kisah suka dan duka. Antara yang mendapat perhatian adalah perkongsian kisah seorang murid bernama Ipeng yang diceritakan oleh gurunya sendiri.
Melalui Facebook dan Instagram, guru bernama Abdul Hafiz itu berkongsi cerita bagaimana dia pada mulanya marah dengan Ipeng yang sering memberikan alasan terlupa untuk membawa buku ke sekolah.
Namun setelah diperiksa, barulah Abdul Hafiz sedar Ipeng tidak dapat membawa buku kerana beg sekolah yang digunakan sudah terlalu lusuh dan akan terkoyak lebih teruk jika dia membawa buku.
Cerita Abdul Hafiz lagi, Ipeng dijaga oleh neneknya yang tidak bekerja, selepas kematian ibunya. Bapa Ipeng pula dikatakan telah menghilangkan diri selepas ibunya meninggal dunia.
Melalui perkongsian itu, nasib Ipeng mula mendapat perhatian apabila satu jawatankuasa ditubuhkan di sekolah Ipeng, SK Karakit Banggi, Kudat, Sabah.
Menurut Abdul Hafiz, jawatankuasa itu bertujuan untuk menguruskan pengaliran wang derma dan sumbangan supaya dapat diagihkan dengan telus.
Permintaan netizen yang mahu turut sama membantu juga mencetuskan idea untuk Abdul Hafiz membuka tabung khas untuk disalurkan kepada anak muridnya itu.
##kisahipeng #Ipeng #laman sosial #Sekolah Kebangsaan Karakit Banggi #viral