PUTRAJAYA: Kit Pembangunan Perisian (SDK) versi Beta telah dimuat naik ke Laman Mikro e-Invois, di Portal Rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan SDK itu menerangkan secara khusus berkenaan perkara-perkara seperti Application Programming Interfaces (APIs); standard input dan output ; standard kod ralat; penerangan jenis dokumen; logik pengesahan; jadual kod; garis panduan integrasi dan soalan lazim.

Kenyataan itu turut memaklumkan selain SDK, Garis Panduan Umum e-Invois (Versi 2.2) dan Garis Panduan Spesifik e-Invois (Versi 2.0), juga telah dimuat naik ke Laman Mikro e-Invois.

"Pembayar cukai boleh mengakses dan memuat turun semua garis panduan dan SDK menerusi pautan https://www.hasil.gov.my/e-invois/," kata LHDN.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung SDK boleh disalurkan menerusi e-mel [email protected].

-- BERNAMA