SEMALAM saya makan malam di sebuah gedung perabot berasal dari Sweden. Pulang dari gimnasium, saya menjamu 20 ketul bebola daging dengan harapan ia dapat membantu pembinaan otot yang sudah dikerjakan sebelum itu.

Selain 20 ketul bebola daging yang disiram kuah cendawan, melengkapkan hidangan adalah beberapa potongan brokoli, kentang lenyek dan jem strawberi. Begitu ringkas.

Dalam hati terdetik, “tak lawan makanan kita, macam-macam rempah, segala herba kita letak.” Ya, secara amnya begitulah makanan mereka orang Eropah, terlalu mudah dan ringkas. Bandingkan dengan makanan Asia, begitu kaya rupa, bau dan rasanya.

Orang timur memang kaya, sangat kaya dengan segalanya. Jasmani dan rohaninya, nilai manusia dan harta buminya. Namakan apa sahaja, semuanya ada di bumi timur.

Apa yang ada di Eropah? Maju mereka pun kerana hasil 'rompakan' terhadap kekayaan timur. Revolusi Perindustrian pertama pada 1760 yang menjadi titik tolak pemodenan benua itu tidak akan berlaku jika tiada elemen pentingnya iaitu galian timah yang sebahagian besarnya dilombong di Tanah Melayu, atau yang dipanggil mereka sebagai Malaya.

Pada zaman perhubungan dunia masih terbatas, ahli falsafah Greek, Claudius Ptolemy (100M-170M) sudah mengenali dan meletakkan Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago di dalam petanya, merujuk rantau ini sebagai Golden Chersonese atau Semenanjung Emas.

Begitu kaya tanah ini sehingga ramai yang menumpang nikmat di sini, sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah ke hari ini. Dari Tanah Melayu hingga menjadi Malaysia, tanah ini menjadi rumah baharu buat mereka yang sanggup berhijrah meninggalkan negara asal demi mencari kehidupan yang lebih baik di sini.

Malaysia merupakan antara beberapa negara di dunia yang dibentuk daripada pelbagai bangsa, dengan Melayu, Cina dan India menjadi tiga tunjang utama. Ketika beberapa negara tersebut terus bergolak kerana jiwa komposisinya berbeza-beza dan tidak senada, kita masih meraikan kepelbagaian itu.

Walaupun sebenarnya kita masih dalam penafian. Sukar untuk benar-benar menyatu. Masing-masing tidak mahu mengaku kalah, semua mahu mengaku hebat. Kita masih duduk dalam kelompok bangsa kita di meja makan. Kalau ternampak Melayu, Cina dan India duduk bersama, kita segera jadi kagum dan berkata “fuh, ini baru Malaysia!” Sememangnya itulah sepatutnya Malaysia, dan sepatutnya ia menjadi pemandangan yang biasa.

Begitupun, betapa syukurnya kerana Jalur Gemilang tetap tersemat di hati kita. Atas nilai murni yang berpaksikan keluhuran hati yang mencintai keamanan, juga rasa malas untuk bergasak bergaduh pening kepala, kita masih aman dan tetap bersama.

Melayu, Cina dan India. Tiga bangsa Asia ini merupakan antara tamadun terhebat dan tertua di dunia. Masing-masing memiliki kekayaan budaya yang sangat halus dan unik. Muzik, tarian, tulisan, sastera, seni bina, busana, makanan, teknologi, sehinggalah ketertinggian rohani.

Mengikut latar asal masing-masing, tiga bangsa ini menguasai segalanya. Dan di tanah ini, ketiga-tiganya disatukan. Sedarkah anda sebenarnya tiada negara yang seunggul Malaysia? Alangkah moleknya jika kekuatan unik setiap bangsa di tanah ini dimanfaatkan untuk kegemilangan negara?

Namun sayang, semakin hari kita dihanyutkan oleh ego dan ketamakan. Kita termakan dakyah yang memisahkan. Nilai tinggi yang diwarisi dalam darah kita semakin dilupakan. Kita semakin hilang manusiawi, menjadi haiwan yang sentiasa mahu menunjukkan siapa yang lebih berkuasa.

Sejarah mengajar kita tentang asal usul dan perjalanan sesebuah bangsa, untuk kita saling mengenal dan menghormati. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Tangan yang memberi jangan digigit. Ketika kera di hutan disusukan, anak di kendongan jangan dibiar mati kelaparan. Jangan kerana nyamuk, kelambu dibakar. Habis punah seluruh rumah.

Ketika kita sedang asyik bertikam lidah tak sudah, bangsa Eropah terus mengorak langkah ke depan menerajui dunia. Bermula dari zaman Renaissance, mereka tidak lagi menoleh ke belakang, bergaduh tentang hal remeh temeh, mengadu domba, kafir mengkafir dan menjatuhkan sesama sendiri.

Segala ciptaan, inovasi dan penemuan baharu dalam segenap bidang sebahagian besarnya dihasilkan oleh mereka yang kita gelarkan sebagai orang putih, bangsa Eropah terus rajin berusaha mengejar kesempurnaan dan meluaskan pengaruh mereka. Sehingga makanan mereka yang membosankan pun terkenal ke seluruh dunia.

Sambil makan, pendangan saya teralih pandangan ke meja sebelah. Pinggan dan cawan selepas makan ditinggalkan begitu sahaja, walhal tempat letak pinggan tidak jauh dari situ. Ya lah, sebab ada orang yang sudah diupah untuk tolong kemaskan. Kita berlagak tuan, berlagak tak kena tempat.

Kita maju dengan menara pencakar langit, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibanggakan, bisnes berbilion Ringgit tetapi hakikatnya jiwa kita semakin mundur dan kendur. Apa yang ‘Malaysia Baharu’nya kalau anjakan paradigma itu tiada dan segalanya masih sama?

Sepatutnya rempah Melayu, India dan Cina diadun menjadi resepi hidangan terunggul di muka bumi. Bukan bergaduh hidangan mana yang lebih sedap; nasi lemak, ayam kungpao atau kari. Sudahnya yang terus popular adalah spageti.

Sedarlah, kita lebih agung daripada mereka. Namun sedarlah juga, hari ini kita ketinggalan jauh daripada mereka kerana kita alpa, cuai dan leka. Entah sampai bila.

Jangan sampai kita dirompak lagi. Ketika itu jangan salahkan sesiapa, salahkanlah diri sendiri.


*Artikel merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Astro AWANI