Kerajaan optimis untuk melahirkan 60,000 akauntan profesional menjelang tahun 2020.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha di semua peringkat kini dikerah memandangkan jumlah akauntan berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) kini hanya sekitar 34,000 orang.

Justeru itu, usaha mempromosi bagi meningkatkan jumlah akauntan negara amat penting bagi memenuhi permintaan berikutan saiz ekonomi negara yang berkembang pesat.

"Saiz ekonomi Malaysia ketika ini mencecah RM1.2 trilion, kita sebenarnya memerlukan lebih ramai akauntan profesional.

"Bukan itu sahaja, nilai dagangan kita dengan dunia mencecah RM1.5 trilion, modal pasaran RM3.1 trilion dan sektor perbankan pula merekodkan RM2.4 trilion.

"Situasi ini menyaksikan Malaysia amat memerlukan pakar seperti penasihat kewangan yang bagus, kakitangan kewangan dan akauntan profesional untuk menguruskan 'angka-angka' besar ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Perakaunan 2017 Yayasan Peneraju bertemakan #AccountantsAreHot di Universiti Malaya pada Sabtu.

Jelasnya, banyak usaha kini menunjukkan petanda positif biarpun berdepan pelbagai cabaran.

"Ini menunjukkan Malaysia ketinggalan di belakang Hong Kong dan Singapura yang masing-masing mempunyai seorang akauntan untuk kira-kira 184 dan 195 penduduk," katanya.

Katanya, jika sasaran 60,000 akauntan profesional tidak dapat dikecapi, ia tidak bermaksud Malaysia tidak boleh menjadi negara maju.

"Kerajaan hanya mahu pastikan individu yang hendak menjadi akauntan, benar-benar memiliki kelayakan supaya apabila bergelar akauntan profesional, mereka mahir menguruskan rekod dan memberi nasihat kewangan," katanya.