KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengadakan lawatan dan pemeriksaan mengejut ke Klinik Kesihatan Dengkil di Sepang, Selangor, hari ini.

Susulan itu, Menteri Kesihatan itu mengumumkan keputusan menambah bangunan baharu untuk fasiliti kesihatan itu serta beberapa peralatan lain.

Katanya, walaupun klinik itu memberikan perkhidmatan yang baik, kawasan itu masih sesak dan pesakit perlu menunggu lama untuk berjumpa doktor serta berdepan masalah kekurangan tempat letak kereta.

"Walaupun perkhidmatan diberi baik tetapi kawasan sesak, waktu menunggu lama dan parking tak cukup. 

"Saya telah meluluskan segera penambahan bangunan untuk klinik ibu dan anak, mesin ultrasound dan biochem.

"Banyak pelaburan diperlukan untuk meningkatkan kesihatan primer," katanya melalui ciapan di Twitter.


Selain itu, beliau turut menyatakan bersetuju dengan cadangan bahawa Dengkil memerlukan klinik kesihatan yang baharu.

"Extension bangunan cuma penyelesaian jangka pendek. Permohonan untuk klinik kesihatan baharu akan dibuat juga," tambahnya. 


Melalui beberapa gambar dikongsikan Khairy, beliau turut sempat menyapa dan bersembang dengan orang ramai yang berada di klinik berkenaan.

Khairy turut dilihat memasuki bahagian ruangan pejabat dan kaunter klinik tersebut.

Sejak menjadi Menteri Kesihatan, Khairy biasa melakukan lawatan mengejut di fasiliti kesihatan termasuk hospital.