MALAYSIA

K'jaan Sarawak komited teruskan program pengukuran tanah NCR - Awang Tengah

Bernama 04/12/2025 | 12:00 MYT
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sehingga 31 Okt lepas, kerajaan negeri menerusi Jabatan Tanah dan Survei berjaya menyukat sebanyak 1.22 juta hektar tanah NCR secara perimeter di seluruh Sarawak. - Gambar fail/BERNAMA
SIBU: Kerajaan Sarawak komited dalam memperkasakan pembangunan luar bandar dan menjamin hak rakyat terhadap tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi pelaksanaan berterusan Program Pengukuran Tanah NCR yang dilaksanakan sejak 2010.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata sehingga 31 Okt lepas, kerajaan negeri menerusi Jabatan Tanah dan Survei berjaya menyukat sebanyak 1.22 juta hektar tanah NCR secara perimeter di seluruh Sarawak.

"Seluas 947,442 hektar daripadanya telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri," katanya dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6, Surat Hak Milik Tanah Seskyen 18 Kanun Tanah Negeri dan Cek Pampasan Tanah Bahagian Sibu di Dewan Kompleks Islam hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Menurut Awang Tengah kerajaan juga mewartakan dua kawasan baharu Rizab Komunal Bumiputera masing-masing melibatkan Kawasan Lembangan/Bekakap/Bawang Assan/Tanjung Manis seluas 807 hektar dan Tebalong, Batang Oya (1,042 hektar).

Beliau berkata kerja pengukuran lot individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri turut giat dilaksanakan dan setakat ini 106,467 lot individu telah berjaya diukur, melibatkan keluasan 127,016 hektar, sementara 34,507 lot telah dikeluarkan surat hak milik.

Beliau turut mengingatkan pemilik tanah NCR agar tidak menjual tanah secara mudah demi keuntungan jangka pendek, sebaliknya memanfaatkan pelbagai inisiatif kerajaan melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) bagi membangunkan ekonomi keluarga dan komuniti.

Pada majlis tersebut sebanyak 195 surat hak milik tanah diserahkan kepada 171 penerima dari empat kawasan termasuk Pasai Siong, Ngemah, Nanga Dap, Mapai dan Nanga Tanyit.

Seramai 170 pemilik tanah turut menerima Cek Pampasan Tanah berjumlah RM4.49 juta bagi pelaksanaan projek jalan baharu Teku-Pasai Siong ke Kemuyang di bawah Projek Rakyat.

-- BERNAMA



#tanah NCR #Hak Adat Bumiputera #Sarawak #Awang Tengah Ali Hasan