KKD arah telco letak genset di kawasan hot spot banjir - Teo Nie Ching

Bernama
Mac 2, 2023 14:16 MYT
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching (dua, kiri) hadir melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bukit Batu hari ini. - Foto BERNAMA
KULAI: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah mengarahkan syarikat telekomunikasi (telco) menyediakan peralatan janakuasa mudah alih atau genset di kawasan hot spot banjir yang kini melibatkan lima negeri iaitu Johor, Pahang, Negeri sembilan, Sabah dan Melaka.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata arahan itu adalah bertujuan untuk mengelakkan daripada kawasan yang terjejas mengalami gangguan perkhidmatan komunikasi.
Beliau berkata KKD juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta syarikat telco untuk memastikan perkhidmatan telekomunikasi tidak terputus.
"Setakat ini, di Johor terdapat dua kawasan perkampungan Orang Asli yang mengalami gangguan perkhidmatan telekomunikasi iaitu di Chaah, Segamat dan Kampung Peta, Endau Mersing," katanya kepada Bernama selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Bukit Batu, di sini, hari ini.
Beliau turut meminta pengguna membuat aduan sekiranya terdapat gangguan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan terjejas banjir.
-- BERNAMA
#Kementerian Komunikasi dan Digital #genset di kawasan hot spost banjir #Teo Nie Ching #KKD