KKD hasrat jadikan program Keretapi Sarong aktiviti Bulan Kebangsaan - Fahmi

Bernama
September 16, 2023 22:00 MYT
Juliana Lai Joo Lian, 70 (dua, kanan) teruja dengan kehadiran para peserta pada Program Keretapi Sarong sempena Hari Malaysia 2023 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 16 Sept 2023. -- fotoBERNAMA
KUCHING: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhasrat menjadikan program "flash mob" atau persembahan kilat berkumpulan Keretapi Sarong sebagai antara aktiviti sempena Bulan Kebangsaan tahun hadapan.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata ia berikutan program berkenaan yang berlangsung semalam mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran 10,000 peserta terdiri daripada pelbagai kaum dan usia.
"Terlintas di fikiran saya mungkin nanti akan berbincang dengan pihak penganjur untuk memasukkan ia (Keretapi Sarong) sebagai sebahagian aktiviti dalam kalendar sambutan Bulan Kebangsaan selepas ini.
"Saya berharap tahun depan kita dapat merencanakan lebih banyak program di peringkat Bulan Kebangsaan supaya ia tidak hanya melibatkan kibar Jalur Gemilang sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan di sini malam tadi.
Keretapi Sarong 2023 (KS 2023) yang bertemakan "Etnik dan Perpaduan" bertujuan menyemai semangat cintakan negara walaupun dalam kepelbagaian sempena sambutan Hari Malaysia.
Ia merupakan program anjuran LOCCO iaitu organisasi yang membantu mempromosikan aktiviti kebudayaan menerusi penganjuran Keretapi Sarong sejak 2017.
Pada tahun ini, ia berlangsung serentak di lima bandar utama seperti Johor Baharu (sepanjang Sungai Segget), Kota Bharu (LaRocka Park), Ipoh (KTMB Ipoh) dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu), serta di Battersea Power Station (London, United Kingdom).
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #keretapi sarong #Bulan Kebangsaan #perpaduan