REMBAU: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memperuntukkan sebanyak RM3.9 bilion bagi meneruskan pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) Fasa 2, melibatkan 3,693 tapak PoP di lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata pelaksanaan fasa satu bagi projek berkenaan melibatkan 630 lokasi dijangka selesai hujung tahun ini, manakala fasa dua projek itu yang telah pun dimulakan Disember tahun lepas dijangka memanfaatkan sekurang-kurangnya 432,300 premis yang akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila ia siap kelak.

"Sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi itu akan dapat meningkatkan proses pembelajaran di sekolah dengan lebih efektif melalui capaian kepada maklumat dan sumber rujukan yang luas dan membolehkan ilmu pengetahuan lebih mudah dikongsi dan dipraktikkan.

"Ia juga memberi peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan ekonomi berasaskan ekonomi digital di luar bandar dan mereka boleh menjalankan pelbagai urusan termasuk perniagaan di rumah secara dalam talian menerusi capaian rangkaian Internet yang lebih berkualiti dan menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan PoP Zon Selatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Undang Haji Adnan hari ini.

Jelasnya, inisiatif PoP itu adalah antara komitmen kerajaan dalam menggalakkan penerimagunaan teknologi digital oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Fahmi berkata usaha itu juga bertujuan mempersiapsiagakan rakyat dengan kemahiran digital bagi merapatkan kesenjangan digitalisasi serta memperkasakan infrastruktur telekomunikasi negara sekali gus memenuhi keperluan negara dalam memacu ekonomi digital.

Menurutnya, projek PoP yang dilaksanakan di lokasi berhampiran sekolah luar bandar dan pedalaman seperti di SMK Dato' Undang Haji Adnan yang berfungsi sebagai hab penyediaan infrastruktur jalur lebar gentian optik, bukan sahaja untuk kegunaan sekolah, namun turut memberi manfaat terhadap kawasan perindustrian dan premis kerajaan di sekitarnya.

Selain itu, katanya komuniti sekitar juga berpeluang menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih stabil.

"Kelajuan perkhidmatan Internet yang disediakan akan turut menjadi penanda aras bagi penggunaan teknologi moden yang berkaitan dengan infrastruktur dan utiliti termasuk Internet Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan Smart Grid yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata setakat semalam, sebanyak 36 lokasi dengan 3,744 premis di Negeri Sembilan telah dilengkapi dengan kemudahan PoP dan sedia untuk dilanggan dengan tujuh daripadanya dibina di Parlimen Rembau.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan komited untuk terus mempersiapkan rakyat dengan kemahiran terkini, sesuai dengan era digitalisasi dan mengharapkan semua pihak dapat memberikan kerjasama dalam usaha merealisasikan hasrat negara menuju ke Dekad Keemasan Digital.

"Saya berharap agar infrastruktur telekomunikasi yang disediakan ini akan dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat untuk meningkatkan taraf hidup dan menerokai gaya hidup baharu yang lebih berkualiti," katanya.

-- BERNAMA