PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan menyalurkan sumbangan bernilai RM1 juta kepada mangsa banjir di semua negeri yang terjejas akibat bencana banjir ketika ini, kata Menterinya Fahmi Fadzil.

Mengumumkan perkara itu, Fahmi berkata kutipan dana itu dikumpul menerusi Tabung Bantuan Bencana KKD yang disumbangkan oleh pelbagai agensi di bawah kementerian itu.

"Buat masa ini, tabung ini mempunyai RM4.2 juta dan KKD akan sumbangkan RM1 juta beserta barangan keperluan dan makanan kepada mangsa banjir. KKD juga akan sediakan tenaga sukarelawan.

Barangan yang akan diberikan ini adalah sumbangan daripada CelcomDigi dan beberapa syarikat telekomunikasi, yang setiap satu bernilai RM200," katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan persediaan Bantuan Bencana Banjir KKD di sini hari ini.

Bagi memastikan sumbangan serta bantuan diterima semua mangsa banjir, Fahmi berkata pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat lengkap untuk memudahkan proses kenal pasti golongan sasar.

Mengenai aduan capaian Internet dan talian telefon di pusat pemindahan sementara (PPS), beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyedia serta menambah baik kemudahan utiliti itu bagi kemudahan mangsa banjir di PPS.

"Datuk Seri KSU (Ketua Setiausaha) (Datuk Seri Mohammad Mentek) juga memaklumkan banyak PPS yang diaktifkan telah disediakan peralatan wifi, maka kita (KKD) akan minta MCMC untuk berkomunikasi dengan syarikat telekomunikasi untuk mengaktifkan wifi di PPS," katanya.

Sehingga pagi tadi, lima negeri di Semenanjung dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Perak, dengan 140 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kelantan, 299 PPS di Terengganu, lima PPS di Pahang serta masing-masing dua PPS di Johor dan Perak.

Fahmi turut mengalu-alukan aduan daripada petugas media yang ditugaskan di lokasi bencana sekiranya mengalami masalah capaian Internet dan talian telefon sehingga menyukarkan tugasan masing-masing untuk menyampaikan perkembangan terkini kepada orang ramai.

"Kepada media yang membuat liputan di lapangan dan berdepan masalah, boleh berhubung terus dengan pejabat saya untuk kita segera selesaikan masalah (yang dihadapi)," katanya.

Mengenai kerosakan menara telekomunikasi di beberapa negeri yang dilanda banjir, Fahmi berkata pihaknya telah mengarahkan MCMC untuk meneliti perkara tersebut bagi tindakan susulan, agar pengguna mendapat capaian perkhidmatan segera apabila banjir surut.

"Ini supaya apabila (banjir) surut, menara ini boleh digunakan segera. Jika ada yang perlu dibaiki, ia boleh dilakukan segera," katanya.

Beliau turut memaklumkan KKD akan memanfaatkan semua saluran radio dan televisyen untuk menghebahkan mengenai informasi banjir dan persediaan menghadapi bencana itu sebagai amaran awal kepada rakyat negara ini khususnya di lokasi yang berkemungkinan banjir serta mangsa yang berada di lokasi terjejas.

"Kita akan memaksimumkan penggunaan semua aset sedia ada untuk memberi amaran awal. Saya juga telah minta KSU (Ketua Setiausaha) untuk pastikan semua saluran radio dan televisyen agar beri ingatan kepada rakyat negara ini untuk segera berpindah ke kawasan lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menyampaikan maklumat banjir melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

-- BERNAMA