KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah mewujudkan 72 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di Kelantan setakat ini dengan jumlah keseluruhan pengguna mencecah lebih 133,000 orang.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata 2,294 daripada pengguna berkenaan telah menjadi usahawan aktif PEDi, di samping lebih 259,000 penyertaan latihan telah direkodkan.

"Angka ini jelas membuktikan bahawa PEDi berpotensi membantu meningkatkan taraf hidup dan mobiliti sosial penduduk.

"Pelbagai program keusahawanan oleh PEDi termasuk kursus pengendalian makanan, kelas asas Shopee dan kelas ICT, boleh dimanfaatkan komuniti setempat untuk meningkatkan kemahiran di samping menjana sumber pendapatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Perpaduan PEDi peringkat negeri Kelantan, di sini hari ini.

Pada majlis itu 72 orang individu menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Panel Penasihat Perpaduan PEDi.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Fahmi berkata ia sangat penting kerana akan memberi impak kepada peranan dan hala tuju PEDi untuk merancakkan ekonomi digital setempat melalui penglibatan komuniti di sekitar PEDi.

"Pengerusi yang dilantik daripada kalangan pemimpin setempat yang berpengalaman diharap dapat merancakkan lagi aktiviti dan gerak kerja PEDi sebagai sebuah pusat tumpuan untuk aktiviti berkaitan ICT dan juga ekonomi setempat," katanya.

Beliau berkata sosioekonomi komuniti setempat di Kelantan turut diberi perhatian oleh kerajaan.

Katanya kerajaan sentiasa berusaha memberi pendedahan kepada kemahiran digital tanpa mengira kedudukan sosial mahupun geografi, agar masyarakat berupaya menyertai dan merebut peluang dalam ekonomi digital.

PEDi merupakan inisiatif utama KKD untuk komuniti setempat dalam memupuk penggunaan Internet secara positif dan membuka peluang kepada semua bagi mempelopori perniagaan secara dalam talian atau melalui platform e-dagang.

-- BERNAMA