MALAYSIA

KKDW, APM latih 1,000 JKKK di seluruh negara hadapi bencana

Bernama 20/09/2025 | 15:45 MYT
Rubiah Wang berkata inisiatif melibatkan sukarelawan di peringkat akar umbi itu membolehkan tindakan awal diambil oleh penduduk yang mempunyai kemahiran asas menyelamat sebelum bantuan pihak berkuasa tiba. - Gambar Facebook Rubiah Wang
KAJANG: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melatih kira-kira 1,000 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi bencana termasuk semasa musim tengkujuh.

Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang berkata inisiatif melibatkan sukarelawan di peringkat akar umbi itu membolehkan tindakan awal diambil oleh penduduk yang mempunyai kemahiran asas menyelamat sebelum bantuan pihak berkuasa tiba.

"Kerjasama dengan APM untuk melatih penduduk setempat ini akan terus diperkasa kerana KKDW memang telah menetapkan matlamat untuk memantapkan lagi aspek kesukarelawan dalam kementerian ini.

"Dalam aspek sukarelawan (bagi menghadapi bencana) pula, agensi di bawah KKDW akan membantu kerana ia membolehkan peningkatan mobiliti bantuan terutama di kawasan luar bandar dalam menghadapi bencana," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 penubuhan Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed dan Komandan ALPHA Kolonel APM Roydee Abdul Rahman.

Rubiah berkata sejak ditubuhkan pada 2005, ALPHA telah melatih 58,038 individu terdiri daripada anggota APM, penjawat awam dan masyarakat dalam pelbagai bidang berkaitan kecemasan, keselamatan dan kesiapsiagaan sekali gus membuktikan komitmen berterusan agensi itu memperkukuh kesiapsediaan negara.

Beliau berkata hingga suku kedua tahun ini, 5.7 juta rakyat Malaysia atau 26.7 peratus penduduk negara ini telah menerima latihan pertahanan awam melalui pelbagai program APM, yang turut mencerminkan pencapaian ALPHA dalam memperluaskan impak latihan kepada komuniti.

Antara program itu termasuk Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA), Kadet Pertahanan Awam (KASPA), Kor SISPA Tunas Pertahanan Awam (TUSPA), Program Kesedaran Awal Keselamatan Pertahanan Awam (PROKSPA) dan Pendekatan Penglibatan Komuniti untuk Respons Bencana dan Kecemasan (LEADER).

"APM kini perlu menetapkan sasaran untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penduduk di Malaysia menjelang 2045 mempunyai kemahiran pertahanan awam iaitu dalam tempoh 20 tahun akan datang.

"Pastikan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya seorang first responder yang akan memberi tindak balas awal sebelum bantuan kecemasan tiba," katanya.

-- BERNAMA



#penjawat awam #musim tengkujuh #KKDW #luar bandar