KEPALA BATAS: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhasrat menaikkan gaji minimum lepasan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) daripada RM1,500 kepada RM2,000.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata TVET bukan sahaja mengajar subjek konvensional malah harus memastikan tenaga kerja yang kompeten seiring dengan revolusi industri 4.0 (IR 4.0).

"Apa yang saya lakukan ialah transformasi... untuk kita bergerak mengorak langkah baharu ke arah IR 4.0. Kerajaan komited untuk tingkatkan TVET.

"Insya-Allah, satu dasar baharu oleh Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dengan kerjasama Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin), kerjasama 10 lagi kementeriaan untuk kita rombak dan kita akan menjadi negara maju, insya-Allah, di bawah pimpinan Perdana Menteri Kerajaan MADANI," katanya kepada pemberita selepas sesi bual bicara komuniti TVET di Ekspo TVET@KKDW 2023 bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata sebanyak 92.5 peratus lepasan TVET berjaya mendapat pekerjaan.

Terdahulu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan syarikat Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman bagi menjalin kerjasama strategik untuk meningkatkan aspek keusahawanan serta penguasaan teknikal yang menjurus kepada bidang teknousahawan, kajian serta latihan teknikal industri berimpak tinggi dalam bidang kenderaan elektrik (EV)) dan litium bateri bagi lepasan universiti itu.

-- BERNAMA