JERANTUT: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan lima Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile untuk dilaksanakan tahun ini dalam usaha memperkasakan kesejahteraan hidup penduduk luar bandar.

Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata ini adalah berdasarkan sambutan baik yang diterima daripada masyarakat setempat terhadap program tersebut pada tahun lepas yang diadakan di tiga lokasi iaitu di Grik, Perak, Nabawan, Sabah dan Kota Samarahan, Sarawak.

"Dua daripada lima program PKD Mobile sudah dilaksanakan (tahun ini) iaitu di Wilayah Persekutuan Labuan pada 9 Mac lalu dan Kuala Tahan, Pahang pada hari ini, sementara tiga lagi PKD Mobile dijangka akan dibuat di Zon Borneo, Zon Tengah dan Zon Selatan.

"PKD Mobile diadakan melibatkan kawasan yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan PKD bagi membolehkan komuniti luar bandar berinteraksi secara langsung dan mendapatkan perkhidmatan PKD sedia ada atau yang terletak jauh dari bandar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile di Kuala Tahan di sini semalam.

Beliau berkata PKD Mobile telah diperkenalkan dan dijadikan sebagai satu daripada program 'quick wins' KKDW yang bertujuan memperluaskan perkhidmatan PKD sedia ada termasuk perkhidmatan jabatan kerajaan dan swasta dalam bentuk kaunter ke kawasan luar bandar terpilih.

Rubiah berkata ia juga turut berperanan sebagai platform mencari usahawan luar bandar yang mempunyai produk yang boleh dipasarkan secara dalam talian melalui platform di bawah kementerian, Desamall sekali gus akan meningkatkan sosioekonomi mereka.

"Program PKD Mobile berada di bawah perbelanjaan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang mempunyai dana RM4 juta pada tahun ini selain pelaksanaan pelbagai program yang dirancang bagi PKD fizikal seluruh negara," katanya.

Beliau berkata PKD secara keseluruhan dilihat amat penting dalam membantu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat desa dengan penyediaan latihan dan aktiviti melalui pembangunan keupayaan serta pembudayaan keusahawanan.

Menyentuh mengenai PKD fizikal, beliau berkata setakat ini terdapat 191 buah PKD fizikal di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Di Pahang sahaja terdapat 20 buah dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup masyarkat luar bandar sejajar dengan motonya iaitu 'Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan'.

"Pencapaian PKD sejak tahun 2021 sehingga 31 April tahun ini ialah sebanyak 19,736 program pemerkasaan PKD meliputi kursus, latihan dan aktiviti komuniti berjaya dilaksanakan.

"Sementara penglibatan peserta atau penerima manfaat menerusi semua program berkenaan ialah sebanyak 565,531 orang dan ini, secara langsung menggambarkan sambutan baik yang diberikan," katanya.

-- BERNAMA