NATIONAL
KKFP platform baharu bantu kesan aset jenayah rasuah di luar negara - Azam Baki

Tan Sri Azam Baki berkata SPRM sebagai agensi peneraju dan sekretariat KKFP akan memastikan tindakan pengesanan, analisis serta penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih bersepadu, pantas dan berimpak tinggi. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penubuhan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh usaha negara mendapatkan semula wang dan aset hasil jenayah rasuah serta penyelewengan yang disembunyikan di luar negara.
Ringkasan AI
- SPRM menubuhkan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) untuk mempercepat usaha mengesan dan memulangkan aset negara hasil jenayah rasuah seperti kes 1MDB.
- KKFP melibatkan kerjasama tujuh agensi utama termasuk Jabatan Audit Negara, LHDN dan SSM bagi menangani penipuan perakaunan secara menyeluruh.
- Malaysia dianggarkan rugi RM277 bilion akibat rasuah antara 2018 hingga 2023, yang menjejaskan keyakinan pelabur dan pembangunan negara.
"Contohnya pagi tadi dalam taklimat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), banyak perlu dibuat dan ia bukan kerja mudah serta memerlukan kepakaran," katanya pada sidang media selepas melancarkan KKFP bersama wakil enam agensi peneraju lain di sini hari ini.
Selain SPRM, KKFP turut diterajui Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan Institut Akauntan Malaysia.
Ia ditubuhkan sebagai platform kerjasama strategik rentas agensi dalam usaha membanteras jenayah penipuan perakaunan secara menyeluruh.
Mengenai skandal 1MDB, Azam menyifatkan ia sebagai kes yang kompleks dan mencabar kerana kebanyakan aset yang didakwa dicuri berada di luar negara.
"Kita akan ke arah itu (kerjasama KKFP dalam kes 1MDB)... Ini bukan perkara mudah, banyak aset berada di luar negara dan bukan semua negara mempunyai kerjasama erat dengan kita. Kepakaran ahli KKFP akan digunakan sepenuhnya dalam pengesanan aset melibatkan kerjasama antarabangsa," katanya.
Azam berkata KKFP turut memfokuskan kepada aspek pemulangan hasil dengan jangkaan impak positif dapat dilihat dalam tempoh enam bulan akan datang.
Mengulas kesan rasuah terhadap ekonomi negara, Azam mendedahkan berdasarkan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia mengalami kerugian kira-kira RM277 bilion akibat jenayah rasuah dalam tempoh lima tahun antara 2018 hingga 2023, bersamaan RM55 bilion setahun.
Beliau berkata kajian EMIR Research pada 2023 pula menganggarkan kerugian mencecah RM4.5 trilion antara tahun 1997 hingga 2022, yang merangkumi pelbagai bentuk kebocoran dan penyelewengan.
"Ini bukan sekadar statistik, ia adalah petunjuk jelas bagaimana rasuah dan kesalahan berkaitannya seperti pemalsuan dokumen, manipulasi penyata kewangan dan penyelewengan wang syarikat telah merosakkan dasar, proses dan penyampaian kerajaan serta sektor swasta.
"Akhirnya ia membawa kepada kehilangan keyakinan pelabur dan rakyat, serta kemunduran kemajuan negara," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami