KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang lima strategi bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Salah satunya, dengan mempertingkatkan lagi kadar ujian saringan daripada 78,650 kepada 100,000 sehari.

Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya akan melihat kemungkinan untuk membina makmal lain di hospital daerah untuk meningkatkan kadar ujian tersebut.

“Kita akan meningkatkan lagi kadar ujian ataupun ujian seharian RT-PCR dan RTK-Antigen dengan makmal yang kita ada sekarang ini.

“Buat masa ini, kita ada 68 makmal yang mana 23 makmal swasta, 13 makmal universiti, satu makmal Angkatan Tentera Malaysia dan satu makmal Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Jadi dengan kadar ataupun jumlah, ujian RT-PCR hari ini adalah 78,650 kes tetapi kita rasakan kalau kita jangkakan dengan makmal swasta universiti terutamanya, ada 13 makmal,

“Ia boleh tingkatkan lagi ujian, jadi mungkin kita boleh mencecah 100,000 ujian dengan makmal sedia ada,” jelas Dr Noor Hisham.

Terdahulu, analisis ujian saringan RTK-Antigen dan RT-PCR yang dijalankan  KKM masih dalam tanda aras yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Noor Hisham berkata, tanda aras tersebut menetapkan 10 hingga 30 kes negatif bagi setiap satu kes positif.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Libat Urus Darurat COVID-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Siri 3, Keselamatan Dan Keberkesanan Vaksin COVID-19 serta strategi KKM bagi melindungi golongan berisiko tinggi pada Khamis.