PUTRAJAYA: Susulan isu pencemaran ethylene oxide dalam produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai dan Indomie Perisa Ayam Spesial, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengarahkan pihak syarikat untuk membuat penarikan balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai bagi batch yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran Malaysia.

KKM juga telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial keluaran Indonesia di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata KKM mengambil maklum laporan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Taiwan mengenai isu pencemaran ethylene oxide dalam produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai dari Malaysia dan mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial.

Ethylene oxide merupakan sebatian gas kimia yang karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

Ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.

Mengulas mengenai Mi Kari Putih Penang Ah Lai, Dr Muhammad Radzi berkata persampelan produk berkenaan di Malaysia mendapati ia mematuhi perundangan. 

BACA: Dua jenama mi segera dari Malaysia, Indonesia dikesan ada bahan penyebab kanser 


"Meskipun begitu, bagi memastikan kawalan keselamatan makanan berterusan, KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai bagi batch berkaitan yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada," katanya.

Mengenai produk Indomie Perisa Ayam Spesial, beliau berkata semakan data dari Food Safety Information System of Malaysia mengesahkan terdapat kemasukan produk mi segera keluaran Indonesia itu ke negara ini.

"Dalam hal ini, KKM telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk Mi Segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran," katanya.

Sementara itu, mengenai isu penarikan semula produk Mi Sedaap keluaran Indonesia mengandungi ethylene oxide pada 2022, beliau berkata KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan mahupun diimport.

Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, katanya 11 sampel produk Mi Sedaap didapati mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil termasuk kompaun, tindakan mahkamah dan penarikan balik produk dari pasaran.

"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Pengguna dinasihatkan tidak mengambil atau memakan produk terlibat," katanya.

Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu tersebut, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

-- BERNAMA