Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

KKM belum rancang wujudkan program kesihatan khusus bakal jemaah haji

Sinar Harian 23/11/2025 | 04:20 MYT
DR DZULKEFLY: Kita lihat dari sudut penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, berat badan dan sebagainya; semua ini ada pemeriksaan yang kita buat secara rutin dan kita akan terus mempertingkatkan usaha tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
BAGAN DATUK: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum merancang untuk mewujudkan program khusus berkaitan kesihatan bakal jemaah haji bagi memenuhi syarat terbaharu ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia kerana kementerian itu sudah melaksanakan pelbagai prosedur pemeriksaan dan saringan kesihatan secara rutin setiap tahun.

Menurutnya, segala keperluan berkaitan kesihatan jemaah haji telah menjadi amalan tetap KKM dan agensi berkaitan bagi memastikan jemaah berada dalam keadaan terbaik sebelum berangkat ke Tanah Suci.

"Ini memang kegiatan tahunan kami. Saringan kesihatan dan pemeriksaan dilakukan sehingga ke saat akhir sebelum jemaah berangkat.

“Kita lihat dari sudut penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, berat badan dan sebagainya. Semua ini ada pemeriksaan yang kita buat secara rutin dan kita akan terus mempertingkatkan usaha tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS): MOH Kita Sihat yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, pendekatan yang diamalkan Malaysia ketika ini terbukti berkesan kerana negara mencatatkan kadar kematian jemaah haji yang jauh lebih rendah berbanding beberapa negara lain.

Jelas beliau, keutamaan KKM ialah memastikan semua jemaah haji menerima penilaian kesihatan menyeluruh lebih awal supaya sebarang risiko dapat ditangani sebelum perjalanan menunaikan ibadah haji.

Katanya, langkah berterusan itu akan memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah haji sentiasa berada pada tahap optimum.

Sebelum ini Kerajaan Arab Saudi menetapkan beberapa syarat kesihatan baharu bagi musim Haji 1447H/2026M termasuk larangan kepada individu yang menghidap penyakit kronik tidak terkawal dan penyakit berjangkit daripada menunaikan ibadah haji tahun hadapan.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini memaklumkan, syarat itu perlu dipatuhi semua bakal jemaah haji sebelum layak memperoleh visa haji daripada pihak berkuasa Arab Saudi. - Sinar Harian






#Arab Saudi #Dzulkefly Ahmad #saringan kesihatan #jemaah haji