KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) menyokong usaha untuk memperkukuh perkhidmatan Audiologi dengan meningkatkan bilangan pegawai di hospital pakar, menambah baik perjawatan Audiologis, menggalakkan usaha sama di antara agensi-agensi kerajaan dan swasta, serta memperluas perkhidmatan Audiologi di fasiliti kerajaan termasuk di fasiliti kesihatan primer.

KKM dalam kenyataannya pada Sabtu memaklumkan Audiologis, atau dikenali sebagai Pegawai Pemulihan Perubatan (Audiologi) di KKM merupakan badan profesional penjagaan kesihatan komprehensif bagi mengenal pasti, menilai dan mengurus masalah pendengaran, keseimbangan dan sistem saraf yang berkaitan.

Sehingga 2023, hampir 800 Audiologis tempatan yang bertauliah sedang berkhidmat dalam pelbagai sektor pekerjaan awam dan swasta di seluruh negara dan daripada bilangan itu, 198 Audiologis bertugas di 48 buah hospital kerajaan.

"Dengan populasi rakyat Malaysia seramai 34 juta, nisbah Audiologis di Malaysia terhadap populasi terkini ialah 1:42, 500 dan bilangan ini adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan unjuran keperluan Audiologis terhadap populasi rakyat Malaysia iaitu 1:500," menurut kenyataan itu.

Laporan tempatan daripada perkhidmatan Pemulihan Perubatan (Audiologi) yang diperoleh dari 59 hospital KKM pada 2022 pula menunjukkan seramai 27,067 pesakit kes baru didiagnos mempunyai masalah pendengaran.

Program Saringan Pendengaran Neonatal Universal merupakan program yang telah berjaya mengenal pasti tiga bayi dalam 1,000 kelahiran mempunyai masalah pendengaran.

Kadar liputan terkini bagi bayi yang menjalani saringan pendengaran di seluruh negara telah meningkat kepada 78.5 peratus berbanding 59.9 peratus pada 2022 dan standard yang telah ditetapkan oleh Join Committee on Infant Hearing (JCIH) ialah 95 peratus.

Seperti yang diketahui, masalah keseimbangan yang dikawal oleh sistem vestibular dan keseimbangan tubuh mempunyai perkaitan rapat dengan deria pendengaran.

"Oleh itu sudah tiba masanya Audiologis untuk turut memfokus kepada diagnosis dan rehabilitasi masalah ini. Bukan hanya pada warga emas, tetapi saringan awal dari peringkat kanak-kanak lagi bagi menjamin kualiti hidup yang optima dalam kalangan masyarakat," katanya.

Menerusi Pelan Tindakan Kebangsaan Orang Kurang Upaya (OKU) (2016-2022), strategi pertama adalah untuk meningkatkan akses golongan OKU kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang sejahtera.

"Oleh yang demikian, KKM komited dalam menyokong usaha untuk memperkasakan golongan OKU ini. Menurut statistik terkini, terdapat 44,208 individu OKU Pendengaran yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak di Malaysia yang berdaftar sehingga 30 Sept 2023".

"Statistik ini juga menunjukkan golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas mencatatkan jumlahtertinggi berbanding golongan umur yang lain," katanya.

-- BERNAMA