KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes semakan kehakiman berkaitan pengecualian cecair atau gel nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.
Kementerian itu memaklumkan perbincangan berkenaan bertujuan memperhalusi segala aspek perundangan, meneliti ruang tindakan undang-undang seterusnya serta menetapkan langkah susulan yang sewajarnya.
Menurut kementerian itu, pihaknya mengambil maklum dan menghormati keputusan mahkamah berhubung aspek prosedural dalam perintah pengecualian bahan berkenaan daripada senarai racun.
“Keputusan mahkamah ini mencerminkan sistem semak dan imbang yang sihat serta membuktikan bahawa rakyat, pertubuhan masyarakat sivil (NGO) dan pihak berkepentingan amat prihatin terhadap polisi perlindungan kesihatan awam,” jelas KKM dalam satu kenyataan pada Ahad.
KKM menegaskan bahawa kementerian dan NGO berkongsi matlamat sama iaitu melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.
Kementerian itu turut memberi jaminan akan terus memperkukuh agenda kawalan tembakau dan produk merokok menerusi pemantauan berterusan di bawah Akta 852 bagi melindungi kesihatan rakyat khususnya kanak-kanak dan generasi muda.
Menurut kenyataan itu lagi, perkembangan dan tindakan lanjut berkaitan perkara berkenaan akan dimaklumkan secara rasmi selepas proses konsultasi bersama AGC dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Pada 15 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpr memutuskan tindakan Menteri Kesihatan dan kerajaan yang mengecualikan cecair dan gel rokok elektronik daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 adalah tidak rasional.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati pengecualian yang dimasukkan dalam Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.
Beliau berkata, keputusan mengecualikan cecair dan gel nikotin bagi rokok elektronik daripada kawalan Akta Racun dibuat lebih menjurus kepada faktor ekonomi susulan cadangan pengenaan duti eksais terhadap produk berkenaan.