MALAYSIA

KKM cadang perkasa semula konsep ‘Satu Doktor, Satu Keluarga’ - Menteri Kesihatan

Seth Akmal 06/07/2025 | 04:45 MYT
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyertai acara latihan CPR komuniti terbesar semasa sambutan Hari Doktor Keluarga Sedunia 2025 (WFDD) FitCPR Run di Putrajaya, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI/ Seth Akmal
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan konsep ‘Satu Doktor, Satu Keluarga’ diperkasakan kembali untuk memastikan setiap keluarga di Malaysia mempunyai seorang doktor keluarga yang dikenali, dipercayai, dan mudah diakses.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat konsep tersebut merupakan satu langkah ke hadapan yang akan menjamin sektor kesihatan negara berada dalam situasi yang mampan.

“Kita mahukan komitmen yang utuh, institusi keluarga, untuk kita anjurkan dan budayakan, akhirnya nanti satu aspirasi ke arah ‘Satu Doktor, Satu Keluarga’ dan ia benar-benar harapan dan impian (dalam) aspek kesihatan keluarga.

“Saya yakin kita mahu pastikan setiap keluarga di Malaysia mempunya seorang doktor yang benar-benar mengenali, dipercayai dan mudah diakses oleh setiap keluarga…saya percaya polisi ini merupakan satu langkah ke hadapan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut mengenai konsep dan kaedah pelaksanaan dasar berkenaan, namun mengakui ia akan mengambil masa agak lama untuk dilaksanakan.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucap tama di Hari Doktor Keluarga Sedunia 2025 (WFDD) FitCPR Run yang dianjurkan oleh Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) dan Akademi Doktor Keluarga Malaysia (AFPM) di Akademi Perubatan Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Datuk Dr Norsiah Ali.

Dr Dzulkefly turut menyertai acara latihan CPR komuniti terbesar (FitCPR) iaitu satu kaedah latihan pantas melalui modul 5T yang dbangunkan dengan kerjasama Klinik As-Salam dan Salam Edumed bersama Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penjagaan Pra-Hospital, Dr Dzulkefly mengulangi visi ‘Good Samaritan Law’ iaitu akta yang bertujuan melindungi orang awam untuk menghulurkan bantuan semasa situasi kecemasan.

“Sasaran dan harapan adalah menghidupkan, membudayakan dalam Kerajaan Madani budaya ehsan di mana setiap individu bertindak segera apabila melihat situasi kecemasan seperti serangan jantung, jadi CPR merupakan satu langkah yang mustahak,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan RUU tersebut dijangka akan dibentangkan pada 2026.





#KKM #Dzulkefly Ahmad #Malaysia #Kerajaan Madani