JELI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggerakkan 102 pasukan Inisiatif Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MPHSS) bagi membantu mangsa banjir yang terkesan dari segi emosi serta mental akibat Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan-pasukan MHPSS ditempatkan di tujuh negeri terlibat banjir iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor, Sabah dan Negeri Sembilan.

Katanya, Rantau Panjang, Pasir Mas antara lokasi yang diberi tumpuan utama bagi usaha menjalankan MHPSS kerana tahap paling terjejas banjir kali ini.

“KKM bukan sahaja menumpukan saringan kesihatan biasa kepada mangsa banjir tetapi juga menjalankan pengesanan tahap emosi serta mental mereka.

“Pengesanan awal dibuat supaya rawatan lanjut seterusnya dapat diberikan,” katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Kelantan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli, di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, selain mangsa banjir, petugas-petugas KKM juga diberikan perkhidmatan sokongan sama dan setakat ini sebanyak 123 pertolongan cemas psikologi (PFA) dijalankan kepada mereka.

Katanya, selain pasukan MHPSS, sebanyak 297 pasukan perubatan di bawah KKM bertugas dalam banjir, pasukan kesihatan (286) dan pasukan promosi kesihatan (286).

“KKM menyediakan kaunter saringan kesihatan di semua PPS bagi menyaring gejala penyakit berjangkit seperti demam, batuk, selesema, cirit-birit, muntah, dan sakit perut.

“Mangsa bergejala akan dirawat dan diasingkan daripada mangsa lain di bilik isolasi PPS manakala mereka yang bergejala teruk akan dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” ujar beliau.

Selain itu, kata Dr Dzulkefly, aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit sentiasa dilakukan oleh pasukan kesihatan itu di PPS.

“Tindakan dibuat seperti pemeriksaan tempat penyediaan makanan, pemantauan kualiti bekalan air dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk bagi mencegah penularan penyakit berjangkit,” katanya. -Sinar Harian