KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi satu kerangka bagi mewujudkan kerjasama strategik bersama negara pengeluar utama bekalan bahan aktif farmaseutikal (API) iaitu India dan China.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2022 di Dewan Negara hari ini, berkata kerjasama itu bagi menjamin bekalan API untuk kegunaan negara termasuk semasa krisis.

"KKM merancang pelbagai inisiatif bagi memastikan isu terbabit ditangani, antaranya menggalakkan syarikat farmaseutikal tempatan mengeluarkan ubat-ubatan sendiri, termasuk API melalui kerjasama awam-swasta.

"Saya percaya masalah kekurangan ubat tidak akan berlarutan begitu lama...isu kekurangan ubat-ubatan dijangka pulih menjelang suku keempat tahun ini," katanya.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan di Dewan Negara dengan lebih suara bersetuju.



NEGARA-LULUS 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Terdahulu Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022, yang antara lain bertujuan menambah baik peruntukan sedia ada terutama berhubung pelantikan Timbalan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata 1,192 ejen peruncit benih padi telah diberikan kelulusan khas untuk menjual benih padi sah di negara ini, setakat Julai lepas.

"Beberapa siri operasi penguatkuasaan khas melalui kawal selia padi dan beras juga telah dijalankan kementerian bagi memastikan bekalan dan harga yang djual tidak melebihi harga maksimum yang dibenarkan," katanya.

Turut diluluskan di Dewan Negara hari ini ialah Rang Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 yang bertujuan meminda Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 1965.

Rang undang-undang yang bertujuan memberi kuasa kepada FAMA menstabilkan rantaian bekalan komoditi ternakan yang memberi kesan langsung kepada keupayaan modal serta pasaran terutama pengeluar kecil dan sederhana itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA