SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan (KKM) mengemukakan kira-kira 2,000 ke 3,000 permohonan jururawat lantikan kontrak untuk diserap ke jawatan tetap bagi tahun ini.

Timbalan Menterinya Lukanisman Awang Sauni berkata kesemua permohonan berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi kelulusan lanjut.

Namun katanya, jumlah permohonan yang akan diterima ke jawatan tetap itu adalah bergantung sepenuhnya kepada ketetapan JPA.

Beliau berkata KKM mempunyai keperluan bagi menambah jumlah jururawat sedia ada yang sehingga kini mencecah 165,000 orang, mengambil kira faktor pembinaan banyak fasiliti kesihatan baharu antaranya hospital dan klinik kesihatan termasuk di kawasan pedalaman.

"Susulan itu, kami telah memohon kepada JPA mengenai tambahan jururawat kontrak untuk diserap ke jawatan tetap," katanya selepas melancarkan Hari Jururawat Antarabangsa 2023 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam di sini, hari ini yang disertai lebih 2,000 jururawat dari seluruh negara.

Lukanisman berkata tugas jururawat sememangnya memerlukan penambahbaikan berterusan termasuk melibatkan isu penjawatan khususnya selepas tempoh pandemik COVID-19 yang melanda negara.

"Pengambilan jururawat kontrak telah KKM pertimbangkan untuk diserap secara berfasa sekiranya rayuan penambahan itu diluluskan. Kami juga sedang melakukan proses pemetaan bagi mengoptimumkan khidmat kakitangan sama ada doktor, jururawat dan pegawai perubatan," katanya.

-- BERNAMA