KKM kesan empat lagi kluster baharu

Umavathi Ramayah
Mac 6, 2021 11:12 MYT
Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 14 kluster ditamatkan pada Sabtu apabila melepasi tempoh 28 hari tanpa kes baharu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Empat lagi kluster baharu dengan tiga daripadanya melibatkan tempat kerja direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Dengan pertambahaan itu, kluster baharu yang aktif di Malaysia setakat Sabtu melonjak kepada 478 kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster tempat kerja melibatkan Kluster Lagoon Selatan, Kluster Firma Dua dan Kluster Jalan Haji Malek.
Sementara itu, katanya, satu lagi kluster melibatkan jangkitan dalam komuniti adalah Kluster Bukit Tunggal.
"Sebanyak 72 kluster turut merekodkan pertambahan kes baharu dengan Kluster Tapak Bina Jalan Zamrud mencatatkan pertambahan tertinggi iaitu 64 kes, diikuti Kluster Jalan Muhibbah (31 kes), dan Kluster
Jalan Pelabuhan (31 kes)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 14 kluster juga ditamatkan hari ini apabila melepasi tempoh 28 hari tanpa kes baharu.
Beliau memaklumkan kluster-kluster yang ditamatkan adalah Kluster Industri Kampung Baru, Kluster Jalan Bayu Satu, Kluster Jalan Jelutong, Kluster Bandar Lama, Kluster Desa Tun, Kluster Kampung Tualang, Kluster Bukit Emas, Kluster Tapak Bina Jalan Digital, Kluster Jalan Kiara, Kluster Mandin Jaya, Kluster Kampung Perani, Kluster Bintang, Kluster Jalan Tun Mutalib dan Kluster Tapak Bina Jalan Sungai Besi.
Berikut perincian mengenai kluster-kluster baharu:
1. KLUSTER LAGOON SELATAN
  • Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 27 Februari 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah syarikat pembersihan yang terletak di Jalan Lagoon Selatan, Bandar Sunway, Subang Jaya, Petaling.
  • Sehingga 6 Mac 2021, sejumlah 34 individu telah disaring, di mana 12 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.
  • 2. KLUSTER FIRMA DUA
  • Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-306828) dilaporkan positif COVID-19 pada 4 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.
  • Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Firma 2/1, Kawasan Perindustrian Tebrau Johor Bahru.
  • Sehingga 6 Mac 2021, sejumlah 139 individu telah disaring, di mana 28 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.
  • 3. KLUSTER JALAN HAJI MALEK
  • Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-283506) dilaporkan positif COVID-19 pada 21 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala.
  • Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah pasar raya yang terletak di Jalan Haji Malek, Taman Kelubi, Jasin.
  • Sehingga 6 Mac 2021, sejumlah 23 individu telah disaring, di mana 11 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.
  • 4. KLUSTER BUKIT TUNGGAL
  • Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke- 300649) dilaporkan positif COVID-19 pada 28 Februari 2021 hasil saringan individu bergejala.
  • Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Bukit Tunggal, Julau.
  • Sehingga 6 Mac 2021, sejumlah 139 individu telah disaring, di mana 29 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.
  • BACA: COVID-19: 1,680 kes baharu, 7 kematian
    #Kluster baharu #kluster ditamatkan #COVID-19 #pandemik #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Kementerian Kesihatan #Dr Noor Hisham Abdullah