MALAYSIA

KKM laksana Bayaran Insentif Pakar Prawarta pegawai perubatan dalam tempoh SWE

Bernama 14/07/2025 | 08:40 MYT
KKM memaklumkan pelaksanaan BIPPW adalah selaras dengan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 [Akta A1729] yang mula dikuatkuasakan pada 1 Julai lepas.
PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan pelaksanaan Bayaran Insentif Pakar Prawarta (BIPPW) kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia (SWE) selepas tamat latihan kepakaran.


Ringkasan AI
  • Kerajaan meluluskan Bayaran Insentif Pakar Prawarta (BIPPW) kepada pegawai perubatan yang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia (SWE), selaras dengan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 yang berkuat kuasa 1 Julai.
  • BIPPW diberikan sebaik sahaja pegawai memulakan SWE, dengan kadar bayaran sama seperti Bayaran Insentif Pakar (BIP) mengikut gred hakiki, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan beban tugas pegawai.
  • Akta A1729 memperkemas latihan kepakaran dalam negara dan membolehkan pengamal perubatan dalam bidang tertentu dipertimbangkan untuk pendaftaran pakar, selaras dengan usaha memperkasa sistem kesihatan negara.


Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan BIPPW adalah selaras dengan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 [Akta A1729] yang mula dikuatkuasakan pada 1 Julai lepas.

"Bayaran BIPPW ini akan mula diberikan sebaik sahaja pegawai memulakan SWE. Sebelum Akta Perubatan 1971 dipinda pada 2024, proses ini dikenali sebagai Proses Pewartaan Pakar, iaitu pegawai itu hanya akan menerima Bayaran Insentif Pakar (BIP) setelah berjaya menamatkan proses pewartaan.

"Kadar bayaran bagi BIPPW adalah sama seperti kadar bayaran bagi BIP dan ditetapkan mengikut gred hakiki pegawai, melibatkan Gred 10 hingga 14," menurut KKM.

SWE adalah suatu tempoh percubaan yang perlu dilalui oleh semua pegawai perubatan setelah berjaya tamat latihan kepakaran. Pegawai akan diselia oleh pakar perubatan lebih kanan bagi memastikan mereka kompeten dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pakar.

Pemberian insentif itu juga adalah pengiktirafan terhadap komitmen dan beban tugas yang dipikul oleh pegawai sepanjang menjalani tempoh SWE, yang melibatkan pelaksanaan tugas seperti seorang pakar perubatan.

Ia juga adalah langkah signifikan ke arah penjagaan kebajikan warga kerja KKM, di samping meningkatkan motivasi dan memastikan kesinambungan perkhidmatan perubatan kepada rakyat.

Menurut KKM, dengan berkuat kuasa Akta A1729, semua latihan kepakaran yang dijalankan dalam negara adalah lebih teratur dari segi undang-undang.

"Mana-mana pengamal perubatan yang terjejas dengan isu pengiktirafan serta pendaftaran pakar khususnya mereka dalam bidang pembedahan kardiotorasik, perubatan keluarga, pembedahan plastik dan patologi generik, kini boleh dipertimbangkan untuk pendaftaran sebagaimana yang telah dijanjikan oleh kerajaan pada awal 2024," menurut KKM.

Pegawai perubatan yang menjalani SWE selaras dengan keteraturan proses yang berkaitan juga tidak perlu lagi bimbang mengenai elaun yang mereka layak terima dan KKM komited untuk terus memperkasa sistem kesihatan negara dan berharap semua pegawai dapat memberikan sumbangan berterusan demi kesejahteraan masyarakat.

-- BERNAMA



#KKM #Bayaran Insentif Pakar Prawarta #pegawai perubatan #SWE