MALAYSIA

KKM lancar program erat perkasa pesakit diabetes

Bernama 04/11/2025 | 12:30 MYT
Dr Dzulkefly menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kementerian Kesihatan dan MPS bagi kerjasama di bawah Program ERAT pada pelancaran program berkenaan bersempena Hari Diabetes Sedunia 2025 hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melancarkan Empowering Patients Living with Diabetes (Program ERAT), satu inisiatif nasional baharu yang bertujuan meningkatkan rawatan serta menggalakkan pengurusan kendiri dalam kalangan pesakit diabetes.


Ringkasan AI
  • KKM melancarkan Program ERAT untuk meningkatkan rawatan dan pengurusan kendiri pesakit diabetes, bekerjasama dengan MPS dan Novo Nordisk.
  • 6 juta orang dewasa di Malaysia hidap diabetes, separuh daripadanya tidak tahu. Program ERAT bertujuan mengenal pasti golongan berisiko dan memastikan rawatan berterusan.
  • DMTAC membantu pesakit diabetes mengambil ubat betul, kawal glukosa darah, dan tingkatkan pemahaman terhadap ubat. Program ini telah memberi kesan positif terhadap kesihatan pesakit.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata program dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Novo Nordisk itu juga bertujuan mentransformasikan rawatan dan sokongan kepada pesakit dengan memanfaatkan kepakaran ahli farmasi Klinik Pematuhan Terapi Ubat Diabetes (DMTAC).

Berucap pada majlis pelancaran Program ERAT di sini hari ini, beliau berkata dianggarkan sebanyak 3.6 juta orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, menyaksikan hampir separuh daripadanya tidak mengetahui keadaan mereka.

"Angka itu amat membimbangkan. Ia memerlukan bertindak segera dan mengenal pasti golongan berisiko, memperkukuh langkah pencegahan serta memastikan rawatan berterusan bagi mereka yang telah disahkan menghidap diabetes.

"Ahli farmasi memainkan peranan amat penting dalam DMTAC kerana mereka membantu pesakit untuk mematuhi pengambilan ubat, memberi panduan gaya hidup sihat serta melakukan pemantauan rapi, semua ini penting untuk mengawal glukosa dalam darah dan faedah kesihatan jangka panjang," katanya.

DMTAC yang diperkenalkan pada 2000 adalah perkhidmatan kendalian ahli farmasi dengan kerjasama rapat bersama doktor dan profesional kesihatan lain.

Menerusi DMTAC, ahli farmasi membantu pesakit mengambil ubat dengan betul dan selamat. Pesakit juga menghadiri sesi susulan berstruktur untuk ahli farmasi menilai tahap pematuhan, mengenal pasti masalah berkaitan ubat, memberi kaunseling serta membimbing mereka mengawal diabetes.

Dzulkefly berkata kajian tempatan yang dijalankan di hospital dan klinik kesihatan menunjukkan pesakit di bawah jagaan DMTAC mencatat peningkatan ketara dalam kawalan paras gula dalam darah, pemahaman terhadap ubat-ubatan serta tahap kesihatan keseluruhan lebih baik berbanding rawatan biasa.

Setakat ini, sebanyak 402 fasiliti KKM di seluruh negara menawarkan perkhidmatan DMTAC, disokong oleh 30 pusat latihan dan 37 penyelia bertauliah.

Beliau berkata Program ERAT mencerminkan usaha berterusan KKM untuk mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan ke arah rawatan primer yang berasaskan pencegahan dan berpusatkan pesakit, selain memperkukuh sistem kesihatan melalui pembangunan kapasiti serta memperkasakan pesakit menerusi literasi kesihatan dan penjagaan kendiri.

Turut hadir Duta Denmark ke Malaysia Kirstine Vangkilde Berner dan Pengurus Besar Novo Nordisk Pharma (Malaysia) Sdn Bhd Dr Praful Chakkarwar.

-- BERNAMA



#KKM #diabetes #Program ERAT #ahli farmasi